fb fb fb fb fb

Gangguan elektrik di San Francisco jejas 130,000 penduduk

Foto media sosial

SAN FRANCISCO, 21 Disember- Kira-kira 130,000 penduduk San Francisco terjejas akibat gangguan bekalan elektrik pada Sabtu selepas kebakaran di sebuah stesen janakuasa.

Menurut Pacific Gas & Electric (PG&E), perkhidmatan dijangka pulih sepenuhnya menjelang malam nanti.

PG&E memaklumkan kira-kira 90,000 rumah telah mendapat semula bekalan elektrik bermula pukul 9.00 malam waktu tempatan pada Sabtu manakala baki 40,000 dijangka pulih dalam tempoh malam.

Menurut Datuk Bandar San Francisco, Daniel Lurie, gangguan itu menjejaskan sebahagian besar bandar teknologi dengan populasi lebih 800,000 orang, termasuk pengangkutan awam dan lampu isyarat, pada hujung minggu membeli-belah sebelum Krismas.

“Saya tahu ini hari yang sukar bagi mereka yang masih tiada bekalan, pastikan selamat dan periksa jiran anda," kata Lurie.

Polis, bomba dan pegawai bandar lain dihantar ke lapangan, manakala penduduk digesa kekal di rumah jika boleh.

Banyak lampu isyarat rosak, memaksa polis trafik mengawal persimpangan manakala perkhidmatan kenderaan pandu sendiri, Waymo menghentikan operasi.

Menurut San Francisco Chronicle, kawasan perniagaan yang biasanya sibuk menjadi sunyi kerana banyak kedai terpaksa ditutup, menjejaskan jualan sebelum Krismas. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM