fb fb fb fb fb

Konflik Thai-Kemboja: AS harap mesyuarat fokus kembalikan pematuhan, bukan runding perjanjian baharu

Foto AFP

WASHINGTON, 21 Disember - Amerika Syarikat (AS) berharap Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini akan menumpukan usaha membawa Thailand dan Kemboja kembali mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui bersama, bukannya merundingkan perjanjian damai baharu.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, pihaknya optimis usaha tersebut dapat direalisasikan, walaupun situasi di lapangan masih mencabar.

"Apabila sesuatu perjanjian damai ditandatangani, pematuhan perlu dipastikan. Namun, jika berlaku pelanggaran terhadap perjanjian tersebut, kita perlu membawa pihak-pihak terlibat kembali kepada pematuhan dan terus mendesak mereka," katanya pada sidang media khas di sini semalam.

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN itu diadakan bagi membincangkan perkembangan terkini konflik antara Thailand dan Kemboja susulan pertempuran yang tercetus semula walaupun gencatan senjata telah dipersetujui sebelum ini.

Tumpuan turut terarah kepada usaha diplomatik serantau oleh ASEAN bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan pematuhan terhadap perjanjian sedia ada. 

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR