fb fb fb fb fb

Putin belum putuskan kehadiran ke Sidang Kemuncak G20

(Presiden Rusia Vladimir Putin/REUTERS)

JAKARTA, 4 November- Presiden Rusia Vladimir Putin masih belum memutuskan sama ada beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20), kata pemimpin negara tuan rumah Indonesia dalam satu wawancara.

Pertemuan ekonomi tertinggi dunia telah dibayangi oleh pencerobohan Rusia ke atas jirannya dengan kedua-dua pihak terus bertempur di lapangan tanpa perubahan ketara.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata Putin memberitahunya dalam panggilan telefon pada Rabu lepas, kehadiran beliau ke perhimpunan dua hari di pulau peranginan Bali masih belum dipastikan.

"Beliau (Putin) mahu hadir tetapi tidak dapat membuat keputusan buat masa ini," kata Widodo kepada akhbar tempatan, Kompas dalam satu temu bual yang diterbitkan hari ini.

Indonesia mengamalkan dasar luar neutral mengenai perang Ukraine dan turut menjemput Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky ke sidang kemuncak walaupun Ukraine bukan ahli G20.

Zelensky yang dijangka mengambil bahagian secara maya bagaimanapun mengancam untuk memboikot sidang kemuncak itu jika Putin hadir.

"Sekiranya pemimpin Persekutuan Rusia mengambil bahagian, Ukraine tidak akan mengambil bahagian," katanya dalam sidang media di Kiev semalam.

Indonesia menggesa resolusi aman kepada perang di Rusia yang telah berlarutan selama berbulan-bulan.

Widodo menjadi pemimpin Asia pertama melawat Kiev dan Moscow sejak perang meletus pada Februari lalu.

Setakat ini 17 pemimpin G20 telah mengesahkan kehadiran mereka ke Bali, termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Xi Jinping dari China. -AFP

(Vladimir Putin masih belum memutuskan sama ada beliau akan menghadiri sidang kemuncak
pemimpin G20 yang dianjurkan oleh Indonesia/AFP)

Media Baharu