fb fb fb fb fb

Insiden jambatan runtuh: Gujerat gantung tugas pentadbir kanan tempatan

(Anggota penyelamat mencari mangsa yang terlibat selepas
jambatan merentasi sungai Machchhu runtuh/AFP)

MORBI, 4 November- Seorang pegawai kanan pentadbiran di bandar Morbi di India telah digantung tugas oleh kerajaan negeri Gujerat berikutan insiden jambatan runtuh yang menyebabkan kematian seramai 135 orang, kata pejabat ketua menteri pada hari Jumaat.

Setiausaha kepada Ketua Menteri Gujarat Bhupendra Patel, Pankaj Joshi, memberitahu kerajaan negeri telah menggantung Ketua Pegawai Perbandaran Morbi, Sandeepsinh Zala kerana kejadian tersebut.

Zala tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Jambatan gantung era kolonial di Morbi, di sungai Machchhu, dipenuhi pengunjung pada perayaan Diwali dan Chhath Puja hingga menyebabkan orang ramai terjatuh ke dalam air kira-kira 10 meter.

Jambatan itu berukuran 233 meter panjang dan 1.25 meter lebar, telah dibina pada tahun 1877 dan ditutup selama enam bulan untuk pembaikan sehingga minggu lalu.


(Jambatan gantung yang rosak selepas ia runtuh pada Ahad,
di bandar Morbi, Gujarat/REUTERS)

Setakat ini, polis telah menahan sembilan individu yang berkaitan dengan kejadian itu atas pertuduhan membunuh tanpa niat.

Mereka yang ditahan termasuk kerani tiket, tiga pengawal keselamatan yang bertugas semasa jambatan runtuh dan kontraktor yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja pembaikan.

Zala sebelum ini berkata bahawa Oreva, sebuah syarikat yang berpangkalan di Gujerat telah bertanggungjawab menyelenggara jambatan itu dan tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum membukanya semula minggu lalu, sambil menambah jambatan itu tidak disahkan sesuai untuk kegunaan awam setelah pembaikan.

Zala menjadi orang pertama daripada pentadbiran tempatan yang dikenakan tindakan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berasal dari negeri itu dan menjadi ketua menterinya selama hampir 13 tahun, telah menggesa siasatan terperinci dan meluas mengenai punca bencana itu.

Kerajaan di negeri India Barat, di mana pilihan raya perundangan akan diadakan bulan depan, membatalkan operasi mencari mangsa yang terselamat pada Khamis. Pasukan bomba tempatan, pasukan bencana negeri dan negara akan terus bersiap sedia, kata satu kenyataan kerajaan.-REUTERS

Media Baharu