fb fb fb fb fb

Putera Mahkota Arab Saudi memulakan lawatan ke luar wilayah Teluk

(Putera Mahkota Mohammed bin Salman/REUTERS)

KAHERAH, 21 Jun- Pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman tiba di Mesir semalam untuk memulakan lawatan pertamanya ke luar wilayah Teluk dalam tempoh lebih tiga tahun.

Beliau turut dijangka melawat Jordan dan Turki.

Perjalanan putera raja itu juga adalah menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bulan depan ke wilayah itu,dijangka bagi bertemu pemimpin Arab di Arab Saudi selepas lawatan ke Israel.

Antara agenda penting adalah berkaitan konflik Ukraine serta keselamatan serantau.

Agensi berita negara Arab Saudi, SPA, berkata Putera Mohammed atau dikenali sebagai MbS akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Mesir, Jordan dan Turki mengenai pengukuhan kerjasama dua hala dan perkara kepentingan bersama.

Sumber berkata, MbS dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan membincangkan isu termasuk kesan perang Ukraine dan penjajaran kedudukan Arab Saudi dan Mesir menjelang lawatan Biden ke rantau itu pada pertengahan Julai.

Arab Saudi memberikan sokongan kewangan berbilion dolar kepada Mesir sejak Sisi berkuasa dan dijangka mengumumkan pelaburan ketika Kaherah bergelut dengan kesan ekonomi akibat perang Ukraine.

(Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman disambut oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi
sebaik tiba di Kaherah, Mesir/REUTERS)


Sumber berkata, hari ini, putera raja itu dijangka menuju ke Amman untuk berbincang dengan Raja Abdullah bagi memperbaiki hubungan yang tegang akibat persaingan serantau dan hasrat Arab Saudi yang masih tidak dipenuhi iaitu menyokong ekonomi Jordan yang sedang dalam krisis.

Ia adalah lawatan pertama putera raja di luar Teluk sejak pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi pada 2018 dan wabak COVID-19.

MbS melawat Mesir pada 2018 dan Jepun pada 2019.

Pembunuhan Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul merenggangkan hubungan kerajaan dengan Washington dan Ankara.

Biden Jumaat lalu berkata, beliau akan bertemu putera mahkota itu sebagai sebahagian daripada 'pertemuan antarabangsa' yang lebih luas termasuk bersama pemimpin dari negara Teluk Arab, Jordan, Mesir dan Iraq.

Presiden Turki, Tayyip Erdogan juga sudah memperbaiki hubungan dengan Riyadh, termasuk dengan menggugurkan perbicaraan Turki berhubung pembunuhan Khashoggi.

Penganalisis berkata, pembiayaan Arab Saudi boleh membantu mengurangkan masalah ekonomi Turki.

Erdogan, yang melawat kerajaan itu pada April, berkata beliau akan menjadi tuan rumah Putera Mohammed esok.

"Era baharu akan bermula dan akan berlaku normalisasi sepenuhnya. Dalam skop lawatan itu, beberapa perjanjian akan ditandatangani dalam bidang tenaga, ekonomi dan keselamatan," kata seorang pegawai kanan Turki. -REUTERS

Media Baharu