(Orang ramai menonton TV yang menyiarkan laporan berita mengenai pelancaran roket KSLV-II NURI
dari tapak pelancarannya di Pusat Angkasa Naro, di stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan,
21 Oktober 2021/FOTO FAIL REUTERS)
SEOUL, 21 Jun- Korea Selatan pada Selasa bersiap sedia melancarkan roket buatan sendiri Nuri dalam percubaan kali kedua memasuki orbit, misi kritikal untuk program angkasa lepas negara itu, lapor agensi berita Yonhap.
Roket Nuri seberat 200 tan dijangka berlepas dari Pusat Angkasa Naro di Goheung lebih kurang pukul 4 petang, menurut Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI).
Korea Selatan merancang untuk melancarkan roket pada Khamis lalu, tetapi berdepan masalah teknikal sehingga terpaksa menangguhkan operasi itu.
Dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan pelancaran Nuri pada Isnin, Kementerian Sains dan KARI menjalankan pemeriksaan teknikal terakhir terhadap Nuri dan mendapati tiada sebarang masalah.
Cuaca juga diramal baik pada hari pelancaran.
(Roket Nuri buatan Korea Selatan berlepas dari landasan pelancarannya di Pusat Angkasa Naro
di Daerah Goheung, Korea Selatan/REUTERS)
Sekiranya Nuri berjaya memasuki orbit, Korea Selatan bakal menjadi negara ketujuh di dunia yang melancarkan roket dengan muatan satu tan ke angkasa lepas, selepas Rusia, Amerika Syarikat, Perancis, China, Jepun dan India.
Pelancaran ini merupakan yang kedua selepas percubaan pertamanya berakhir dengan kegagalan.
Pada Oktober lalu, Nuri berjaya terbang pada ketinggian sasarannya 700 kilometer tetapi gagal memasuki orbit kerana enjin peringkat ketiganya terbakar lebih awal daripada sepatutnya. -BERNAMA