fb fb fb fb fb

Ratusan ribu orang dipindahkan, selepas hujan lebat dalam beberapa dekad

(Jalan dan bangunan tenggelam di Wuyuan, Wilayah Jiangxi/AFP)

BEIJING, 21 Jun- Hujan paling lebat dalam tempoh beberapa dekad telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di selatan China.

Media melaporkan, bencana tersebut menyebabkan pemindahan ratusan ribu penduduk.

Menurut Meteorologi Kebangsaan China, purata hujan di wilayah Guangdong, Fujian dan Guangxi antara awal Mei dan pertengahan Jun mencapai 621 milimeter, tertinggi sejak 1961.

Foto media kerajaan menunjukkan orang ramai berkerumun di atas katil kem di sekolah yang diubah menjadi tempat perlindungan sementara di bandar Shaoguan di Guangdong dan ratusan khemah didirikan di padang sukan.

Di wilayah jiran Guangxi, air berlumpur dilihat membanjiri kawasan bandar dan anngota penyelamat kecemasan memindahkan penduduk kampung dengan perahu getah.

Pihak berkuasa Guangdong pada hari Isnin berkata, lebih 200,000 orang telah dipindahkan semasa bencana tersebut.

Setakat ini, kerosakan dianggarkan bernilai 1.7 bilion yuan (AS$254 juta).

Mereka yang dipindahkan adalah antara hampir 480,000 orang yang terjejas akibat hujan dan banjir, menurut pegawai.


(Landasan kereta api yang ditenggelami air selepas hujan lebat
di Shangrao, wilayah Jiangxi tengah China/AFP)

Shaoguan mengeluarkan amaran banjir merah, yang paling serius pada pagi ini, selepas beberapa daerah luar bandar dan bandar utama Foshan meningkatkan amaran banjir dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Media tempatan melaporkan Guangxi dilanda banjir paling teruk sejak 2005.

Pihak berkuasa Meteorologi berkata semalam, 28 sungai di Guangxi telah melebihi paras amaran, dengan hujan berterusan pada hari ini.

Wilayah Jiangxi mengeluarkan amaran merah untuk banjir semalam.

Manakala, di Fujian, lebih 220,000 orang telah dipindahkan sejak awal bulan ini kerana banjir, kata agensi berita rasmi China, Xinhua semalam.

Pada awal bulan ini, sekurang-kurangnya 21 orang maut akibat banjir, ekoran hujan lebat di wilayah Hubei, tengah China.

Banjir besar di wilayah Henan, tengah China pada musim panas lalu, telah meragut 398 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi lebih $10 bilion.-AFP

Media Baharu