fb fb fb fb fb

Putera Charles ambil alih takhta Britain dilantik Raja Charles III

(Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles III selepas kemangkatan ibunya, Ratu Elizabeth II/Foto AFP)

BALLATER, 9 September - Anak sulung Ratu Elizabeth II, Charles, Putera Wales, hari ini dilantik sebagai Raja Charles III susulan kemangkatan ibundanya.

Putera Charles merupakan putera tertua dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II. 

Pegawai Istana Buckingham di London mengesahkan Putera Charles, 73 dilantik sebagai Raja berkuatkuasa serta-merta iaitu Raja pertama dengan gelaran itu, yang menduduki takhta sejak 1685.

Dalam ucapan pertamanya, Raja Charles menyifatkan kemangkatan Ratu Elizabeth sebagai detik yang paling sedih bagi baginda dan seluruh ahli keluarganya.

"Kami berkabung atas pemergian seorang Raja yang dihormati dan ibu yang amat disayangi.

"Saya pasti pemergiannya akan amat dirasai di seluruh negara, dunia, Komanwel dan semua individu," titahnya melalui kenyataan yang ditandatangani 'Yang Mulia Raja'.

Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan jam 6.30 petang semalam, memaklumkan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.

(Putera Charles (kiri) bersama Ratu Elizabeth di Istana Buckingham/FOTO AFP)

Baginda akan menggunakan nama King Charles III sekali gus menjadi raja pertama menggunakan nama itu untuk pemerintah British sejak 1685.

Manakala isteri baginda iaitu Camilla pula akan dikenali Queen Consort.

Raja Charles III secara rasmi akan naik takhta Sabtu ini di Istana St James, London.

Ratusan bunga dan lilin yang dinyalakan membanjiri pintu pagar Istana Buckingham di tengah London, sebagai tanda penghormatan rakyat negara itu terhadap pemergian baginda. - AFP

Media Baharu