fb fb fb fb fb

Kenali sejarah kehidupan Ratu Elizabeth II

(Kombinasi gambar Ratu Elizabeth II sepanjang 70 tahun pemerintahannya/FOTO AFP)

Kenali sejarah kehidupan Ratu Elizabeth II:

21 April 1926
Elizabeth Alexandra Mary Windsor, lebih dikenali sebagai Ratu Elizabeth II dilahirkan di 17 Bruton St, London, pada 21 April 1926.

11 Disember 1936
Bapanya George menjadi Raja selepas bapa saudaranya, Raja Edward turun takhta pada 11 Disember 1936. Pada ketika itu itu baginda menjadi pewaris kepada bapa saudaranya.

24 Februari 1945
Ketika usia 19 tahun, baginda menyertai Perkhidmatan Wilayah Bantuan Wanita semasa Perang Dunia Kedua.

Ratu Elizabeth menjadi wanita Keluarga Diraja yang pertama berkhidmat dalam angkatan tentera meski pun dapat tentangan hebat dari keluarganya

Khidmat ketenteraan beliau berakhir selepas Jepun pula menyerah kalah pada 2 September 1945.

(Elizabeth membaiki kenderaan tentera ketika baginda berkhidmat sebagai tentera)

20 November 1947
Pada usia 21 tahun baginda berkahwin dengan seorang putera dari Greece iaitu leftenan tentera laut Philip Mountbatten, di Westminster Abbey London.

(Gambar fail pada majlis perkahwinan Ratu Elizabeth II dan Putera Philip
pada 20 November 1947.
Dihadiri ahli keluarga Diraja British/FOTO AFP)

14 November 1948
Baginda dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga putera dan seorang puteri.

Putera Charles (lahir pada 1948) dan Puteri Anne (1950) merupakan anak baginda bersama suaminya Putera Philip sebelum menaiki takhta.

Manakala Putera Andrew (1960) dan Putera Edward (1964) lahir selepas baginda menjadi pemaisuri.

Mereka mempunyai lapan cucu dan 10 cicit.

6 Februari 1952
Ratu Elizabeth menaiki takhta selepas kemangkatan ayahanda baginda Raja George VI dan merupakan pembukaan Parlimen negara pertama buat baginda.

2 Jun 1953
Baginda dimahkotakan di Westminster Abbey, London. Istiadat kemahkotaan itu merupakan yang pertama disiarkan di televisyen.

29 Julai 1981

Anak pertama baginda Putera Charles berkahwin dengan Puteri Diana di Saint Paul Cathedral, London.

31 Ogos 1997
Selepas lima hari kematian Puteri Diana, baginda berucap dari balkoni Istana Buckingham, menyifatkan Puteri Diana seorang yang luar biasa dan berbakat. Sentiasa tersenyum dan ketawa serta memberi inspirasi kepada orang lain dengan kemesraan dan kebaikannya. Baginda bertitah amat mengagumi dan menghormati Puteri Diana atas komitmennya terhadap orang lain serta dua orang anak lelakinya.

6 Februari 2012
Baginda Elizabeth meraikan Jubli Intan yang merupakan ratu paling lama memerintah dalam Monarki British iaitu selama 60 tahun.

9 September 2015
Baginda menjadi raja Britain yang paling lama berkhidmat, mengatasi rekod Ratu Victoria yang menduduki takhta selama 63 tahun dan tujuh bulan. Ratu Victoria meninggal pada usia 81 tahun.

(Ratu Elizabeth dan suaminya Putera Philip pada majlis perkahwinan
Puteri Eugenie dan Jack Brooksbank
di Gereja Kecil St George, Istana Windsor pada 12 Oktober 2018/FOTO AFP)

9 April 2021
Suami baginda Putera Philip meninggal dunia ketika usianya 99 tahun.

2 Jun 2022
Era pemerintahan baginda mencecah 70 tahun. Ratu Elizabeth meraikan Jubli Platinum sempena pemerintahannya ke-70 di atas takhta dan ulang tahun baginda yang ke-96.

Baginda membuat penampilan umum pada hari keempat iaitu yang juga hari terakhir perayaan tersebut.

9 September 2022
Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara mangkat pada usia 96 tahun selepas 70 tahun bertakhta.

(Imej Ratu Elizabeth II dipaparkan di Times Square
di New York sebaik diumumkan kemangkatan baginda/FOTO AFP)

Mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda

Sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth telah berkhidmat bersama 15 Perdana Menteri.

Elizabeth adalah ratu pemerintah kepada 15 negara termasuk United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, St Kitts dan Nevis, St Lucia, St Vincent dan Grenadines, dan Tuvalu.

Hanya tiga kerabat diraja di seluruh dunia yang pernah memegang takhta melebihi 70 tahun iaitu Raja Perancis, Raja Louis XIV yang memerintah selama 72 tahun dan 110 hari, Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej (70 tahun dan 91 hari) dan Putera Liechtenstein (70 tahun dan 91 hari).

Baginda pernah berkunjung ke Malaysia sebanyak tiga kali - lawatan sulung pada 1972, menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Langkawi pada 1989, dan menghadiri penutupan Sukan Komanwel XVI pada 1998.

(Gambar terbaru Ratu Elizabeth II ketika baginda
menerima mengadap ketua parti 
Konservatif merangkap
Perdana Menteri Britain yang baharu, Liz Truss,

di Istana Balmoral, Scotland pada 6 Sept 2022/FOTO AFP)

Media Baharu