VICTORIA, 12 Oktober - Pusat-pusat pengundian di seluruh Seychelles ditutup pada petang Sabtu, menandakan berakhirnya proses pengundian bagi pilihan raya presiden yang berlangsung sengit di negara kepulauan itu.
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya memulakan proses pengiraan undi sebaik sahaja pusat pengundian ditutup di seluruh kepulauan berkenaan.
Suruhanjaya itu melaporkan peratusan keluar mengundi yang tinggi di tiga pulau utama iaitu Mahe, Praslin serta La Digue dan mengesahkan bahawa proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kertas undi dari pulau-pulau luar sedang dihantar ke ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Victoria, di mana pemerhati daripada parti-parti politik berdaftar memantau proses pengiraan.
Keputusan awal dijangka diumumkan dalam beberapa jam, manakala keputusan rasmi akan dikeluarkan selepas semua kertas undi selesai dikira dan disahkan. -REUTERS