fb fb fb fb fb

Pembebasan tebusan bermula Isnin ini

Rakyat Palestin mula memasuki Gaza selepas gencatan senjata diisytiharkan/AFP

GAZA, 12 Oktober - Hamas akan memulakan pembebasan tebusan Israel yang ditahan di Gaza pada pagi Isnin.

Menurut kenyataan pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan, pembebasan itu dijangka berlaku beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempengerusikan sidang kemuncak antarabangsa di Sharm el-Sheikh, Mesir, bersama Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.

Dalam fasa pertama perjanjian yang dimeterai, Hamas akan membebaskan tebusan yang masih hidup dianggarkan sekitar 20 orang, sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

“Menurut perjanjian yang telah ditandatangani, pertukaran tawanan akan bermula pada pagi Isnin seperti yang telah dipersetujui,” katanya dalam satu temu bual.

Sidang kemuncak di Sharm el-Sheikh akan menghimpunkan lebih 20 negara dengan matlamat menamatkan peperangan di Gaza, serta memperkukuhkan kestabilan dan keselamatan rantau Asia Barat.

Sidang itu turut dijangka dihadiri Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Perdana Menteri Britain Keir Starmer, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, dan Presiden Perancis Emmanuel Macron. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ