fb fb fb fb fb

16 hilang disahkan maut dalam letupan kilang bahan letupan tentera di Tennessee

Pegawai penguat kuasa berkawal di pintu masuk kilang bahan letupan tentera milik Accurate Energetic Systems yang meletup di Bucksnort, Tennessee/ REUTERS

TENNESSEE, 12 Oktober – Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan bahawa semua 16 individu yang masih hilang disahkan maut dalam letupan besar di sebuah kilang bahan letupan tentera di Tennessee, selepas usaha mencari dan menyelamat selama dua hari tidak menemui sebarang mangsa terselamat.

Siasatan mendapati dua individu yang sebelum ini disangka hilang tidak berada di lokasi kejadian ketika letupan berlaku awal pagi Jumaat, kata Sherif Daerah Humphreys, Chris Davis.

Letupan kuat yang kedengaran sejauh beberapa kilometer itu telah memusnahkan sepenuhnya sebuah bangunan di kawasan seluas 1,300 ekar milik syarikat Accurate Energetic Systems yang terletak di Bucksnort, kira-kira sejam perjalanan ke barat Nashville.

Menurut Davis, operasi kini beralih daripada misi mencari dan menyelamat kepada misi pemulihan, dengan pasukan forensik akan menggunakan ujian DNA bagi mengenal pasti mangsa.

Siasatan sedang dijalankan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF) bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pihak berkuasa berkata, kewujudan bahan letupan dan senjata di lokasi berkenaan menyukarkan proses pencarian serta penyiasatan lanjut. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN