MOGADISHU, 25 Disember – Pusat pengundian dibuka di ibu negara Somalia, Mogadishu hari ini bagi pilihan raya perbandaran pertama menggunakan prinsip satu orang satu undi selepas beberapa dekad.
Ia menandakan peralihan bersejarah daripada sistem politik berasaskan klan.
Pengundian itu dijalankan selepas beberapa minggu kempen giat digerakkan di seluruh bandar, sekali gus menjadi ujian penting terhadap usaha kerajaan memperkenalkan sistem demokrasi secara langsung.
Bagaimanapun, kebimbangan terhadap aspek keselamatan, ancaman kumpulan militan Al-Shabaab, serta dakwaan pembangkang mengenai kebebasan dan integriti badan pilihan raya terus mencetuskan persoalan sama ada pilihan raya bersejarah itu mampu membawa kemajuan demokrasi yang sebenar.
Pilihan raya itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini.
Semasa proses pengundian, kerajaan Somalia meningkatkan tahap keselamatan dengan lebih 10,000 anggota keselamatan dikerahkan di seluruh Mogadishu. -REUTERS