BANGKOK, 25 Disember - Puluhan buah rumah musnah selepas tentera Kemboja melepaskan tembakan meriam ke arah kampung-kampung di sempadan Thailand.
Pengeboman dilakukan secara melulu di wilayah Sa Kaeo pada petang 22 Disember.
Polis Thailand mendakwa, tentera Kemboja telah melepaskan kira-kira 200 roket BM-21 dari kampung-kampung yang dijadikan perisai manusia di seberang sempadan, bagi melindungi diri mereka daripada serangan balas Thailand.
Ketua Balai Polis Daerah Khok Sung, Kolonel Polis Sutthiphong Intasit berkata, lima orang awam dan seorang pegawai polis cedera, termasuk seorang penduduk tempatan yang kehilangan kedua-dua kaki.
Gabenor Parinya Photisat yang melawat mangsa di Hospital Khok Sung telah menyelaraskan usaha bantuan.
Pihak berkuasa tempatan turut menjalankan penilaian kerosakan terhadap rumah-rumah yang terjejas akibat letupan.
Markas Tentera Pertama melaporkan, pertempuran di sempadan memasuki hari ke-15 dengan tiga lokasi utama menjadi tumpuan, iaitu Kampung Ban Khlong Phaeng, Ban Nong Ya Kaew dan Ban Nong Chan.
Serangan roket BM-21 Kemboja sejak 8 Disember dilaporkan telah mencederakan tujuh orang awam, membunuh tujuh ekor lembu dan merosakkan 14 buah rumah di daerah Khok Sung dan Ta Phraya.
Ia turut menjejaskan 2,310 ekar ladang tebu, 16.6 ekar ladang pokok pelangi atau 'eucalyptus' dan 3.6 ekar ladang mangga, selain merosakkan 13 kemudahan awam termasuk jalan raya, tiang elektrik voltan tinggi dan pagar.
Lebih 120 das roket BM-21 telah dilepaskan ke arah Ban Khlong Phaeng, manakala lebih 60 das dilepaskan ke Ban Nong Ya Kaew, menurut pegawai.
Tentera Udara Diraja Thailand bertindak balas dengan menghantar pesawat pejuang F-16 untuk menyerang sasaran ketenteraan berhampiran Ban Khlong Phaeng dan kawasan bertentangan Ban Nong Chan. -REUTERS