fb fb fb fb fb

Kemboja dakwa Thailand bom tapak tentera di wilayah Battambang

Tangkap layar video menunjukkan kanak-kanak sebuah sekolah melarikan diri selepas pengebomban di wilayah Battambang pada Rabu

BATTAMBANG, 25 Disember - Tentera Udara Diraja Thailand didakwa mengerahkan pesawat T-50TH Golden Eagle buatan Korea Selatan untuk menjatuhkan empat bom di wilayah Battambang di barat laut laut Kemboja pada Rabu.

Agensi berita tempatan dalam laporannya memaparkan rakaman video yang menunjukkan kanak-kanak berlari ketakutan selepas pengeboman yang menyasarkan tapak tentera.

Tentera Diraja Kemboja mendakwa Thailand mengerahkan pesawat tersebut pada pukul 10 pagi bersama jet pejuang F-16 dan Gripen.

Portal dalam talian Defence Security Asia pada 22 Disember lepas melaporkan Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Thailand, Marshal Udara Praphas Sonchaidee mengesahkan peralihan T-50TH daripada platform latihan kepada pesawat tempur sepenuhnya bawah keadaan peperangan sebenar.

Pesawat yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries itu dikatakan dilancarkan dari Skuadron 401, Wing 4 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand Takhli di Nakhon Sawan.

Pertempuran di wilayah berkenaan tercetus pada awal tahun ini sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan, namun konflik tercetus semula pada bulan ini apabila tentera Kemboja dikatakan menembak ke arah pasukan jurutera Thailand yang membina jalan akses di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Dalam pertempuran terkini, sekurang-kurangnya 23 tentera Thailand dan seorang penduduk awam terkorban, manakala di Kemboja, jumlah kematian tentera dipercayai lebih tinggi.

Kira-kira 600,000 orang menjadi pelarian di kedua-dua belah sempadan. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK