fb fb fb fb fb

Lima terkorban letupan bom gegar masjid di timur laut Nigeria

Anggota tentera memeriksa lokasi letupan di sebuah masjid di Gamboru, timur laut Nigeria/ AFP

GAMBORU, 25 Disember – Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala lebih 30 lagi cedera selepas satu letupan bom menggegarkan sebuah masjid di Gamboru, sebuah bandar pasar di negeri Borno, timur laut Nigeria, menurut pihak polis.

Letupan berlaku ketika jemaah sedang bersiap untuk menunaikan solat, mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk dan peniaga di kawasan padat itu.

Kejadian berkenaan turut memaksa penutupan pasar berhampiran serta sekatan jalan oleh penduduk tempatan.

Rakaman di lokasi menunjukkan kerosakan di bahagian dalam masjid, dengan sejadah dan kasut bertaburan di kawasan sekitarnya, manakala aktiviti perniagaan dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.

Seorang saksi kejadian berkata letupan berlaku secara tiba-tiba, diikuti debu tebal dan jeritan orang ramai yang bertempiaran menyelamatkan diri dan beberapa mangsa dilaporkan terkorban di lokasi kejadian.

Sehingga kini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Namun, kawasan berkenaan sebelum ini sering menjadi sasaran serangan militan, termasuk penggunaan bahan letupan buatan sendiri dan pengeboman berani mati di tempat awam serta rumah ibadat.

Negeri Borno merupakan pusat utama pemberontakan Boko Haram sejak 2009, dengan kumpulan militan itu sering melancarkan serangan terhadap orang awam walaupun langkah keselamatan terus dipertingkatkan oleh pihak berkuasa. -VIORY

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN