fb fb fb fb fb

Kepulangan Tarique Rahman detik penting bagi politik Bangladesh

Pengerusi Sementara Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Tarique Rahman melambai kepada penyokongnya selepas pulang dari London/ REUTERS

DHAKA, 25 Disember - Pengerusi Sementara Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Tarique Rahman kembali ke negara itu selepas hampir 17 tahun hidup dalam buangan, menjelang pilihan raya umum pada Februari depan yang menyaksikannya sebagai salah seorang calon perdana menteri utama.

Ribuan penyokong menyambut kepulangan Tarique di lapangan terbang Dhaka, melaungkan slogan dan mengibarkan bendera parti, manakala pemimpin kanan BNP menyambut beliau di bawah kawalan keselamatan ketat.

Tarique, 60, anak kepada bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia telah menetap di London sejak tahun 2008 dan memimpin BNP sebagai pengerusi sementara sejak 2018.

Kepulangannya menandakan fasa penting bagi politik Bangladesh, sebuah negara majoriti Islam dengan hampir 175 juta penduduk, yang kini memasuki tempoh pilihan raya di bawah kerajaan interim diketuai pemenang Nobel, Muhammad Yunus.

Pilihan raya tersebut dilihat penting untuk memulihkan kestabilan politik selepas hampir dua tahun bergolak.

Walaupun pihak berkuasa berjanji memastikan proses bebas dan aman, serangan terhadap media dan keganasan berselang-seli menimbulkan kebimbangan, menjadikan kepulangan Tarique detik penting bagi BNP dan proses peralihan politik negara itu. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN