Beijing, 19 April- Berpuluh-puluh robot manusia (humanoid) menyertai ribuan manusia dalam larian separa maraton pertama seumpamanya di dunia yang diadakan di Beijing, China, hari ini.
Perlumbaan melibatkan jarak sejauh 21 kilometer itu diadakan di E-Town, sebuah kawasan pembuatan berteknologi tinggi yang disokong oleh kerajaan untuk menguji kemampuan robot bipedal (dua kaki) dalam persekitaran dunia sebenar.
Pada permulaan perlumbaan dengan lagu pop China "I Believe" berkumandang, robot-robot itu berbaris di garisan permulaan dan memulakan langkah pertama mereka.
Namun, beberapa robot menghadapi cabaran ketika perlumbaan bermula.
Sebuah robot kecil jatuh dan terbaring di atas tanah selama beberapa minit, namun berjaya bangkit semula, mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.
Sebuah lagi robot yang menggunakan kipas dan direka bentuk seperti Transformer, merempuh penghalang sebelum melanggar seorang jurutera.
Liang Liang, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Beijing E-Town berkata, "Memasuki trek perlumbaan mungkin kelihatan sebagai langkah kecil bagi manusia, tetapi ini adalah lonjakan besar bagi robot humanoid." Sambil itu, beberapa jurutera turut berlari mengiringi robot mereka.
Perlumbaan itu melibatkan lebih 20 pasukan dari seluruh China dengan robot-robot yang mempunyai ketinggian antara 75 hingga 180 sentimeter dan berat sehingga 88 kilogram.
Sebahagian robot berlari secara autonomi -- menunjukkan keupayaan bergerak sendiri tanpa bantuan manusia, manakala yang lain dipandu oleh jurutera dengan robot dan pelari manusia berlari di trek berasingan.
Tujuan utama perlumbaan itu adalah untuk menguji prestasi dan kebolehpercayaan robot dalam keadaan sebenar dengan fokus utama bukan untuk memenangi perlumbaan, tetapi untuk melihat sejauh mana robot berkenaan mampu bertahan sepanjang perlumbaan.
Cui Wenhao, seorang jurutera di Noetix Robotics berkata, "Ini adalah ujian besar bagi industri robotik. Perlumbaan ini memberikan peluang untuk menguji robot dengan tempoh masa yang panjang dan ujian ketahanan bateri, motor dan struktur robot."
Sebagai sebahagian latihan, beberapa robot humanoid telah menjalani latihan maraton setiap hari dengan kelajuan sekitar tujuh minit per kilometer.
Perlumbaan itu dianggap penting kerana ia membuktikan robot humanoid kini semakin hampir untuk menyatu dalam kehidupan manusia dengan potensi untuk melaksanakan tugas-tugas biasa dilakukan oleh manusia.
China sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia terus berusaha untuk memimpin dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik, bersaing secara langsung dengan Amerika Syarikat.