fb fb fb fb fb

Puluhan ribu tentera simpanan Israel dikerah, serang Gaza

Foto Reuters

BAITULMAQDIS, 4 Mei - Israel dilaporkan telah mengeluarkan arahan memanggil puluhan ribu tentera simpanan bagi persediaan memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza, menurut laporan media Israel pada Sabtu.

Tindakan itu dilakukan ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengkritik Qatar kerana gagal menjadi pengantara dalam rundingan isu gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Tentera simpanan dipanggil untuk menggantikan anggota kerahan dan tentera aktif yang kini bertugas di Israel dan Tebing Barat, supaya mereka boleh dipindahkan ke Gaza.

Setakat tiada sebarang pengesahan dan penafian daripada jurucakap tentera berhubung perkembangan itu.

Menurut penyiar awam Israel, kabinet keselamatan dijadualkan bermesyuarat pada Ahad bagi meluluskan peluasan operasi ketenteraan di Gaza.

Israel menyambung semula operasi besar-besaran di seluruh Gaza sejak 18 Mac lalu berikutan kebuntuan rundingan mengenai gencatan senjata selama dua bulan.

Qatar menjadi pengantara utama gencatan senjata bersama Amerika Syarikat dan Mesir yang berkuat kuasa sejak Januari lalu. Namun, usaha untuk mencapai perjanjian baharu kini dilihat semakin buntu.

Netanyahu menuduh negara Qatar “bermain di kedua-dua belah pihak dengan percakapan berbelit-belit.” Dalam satu hantaran di platform X, beliau berkata Qatar perlu “memilih sama ada berada di pihak ketamadunan atau di pihak kebiadaban Hamas.”

Sejak 2 Mac, Israel menyekat semua penghantaran bantuan ke Gaza, mencetuskan amaran daripada agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai bencana kemanusiaan yang bakal berlaku. - AFP

TETITIA YUSOFF