fb fb fb fb fb

New Zealand peruntuk AS$1.2 bilion ganti helikopter Seasprite

Menteri Pertahanan Judith Collins/ Foto Reuters

WELLINGTON, 4 Mei - New Zealand pada Ahad mengumumkan rancangan bernilai AS$1.2 bilion bagi menggantikan helikopter tentera laut yang lama.

Menteri Pertahanan Judith Collins berkata, ia sebagai langkah awal dalam penstrukturan semula sektor pertahanan negara susulan peningkatan ketegangan global.

Jelas Collins peruntukan itu merupakan fasa pertama sebagai usaha meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Collins berkata, helikopter baharu itu akan memiliki keupayaan pertahanan dan serangan lebih baik, serta mampu melakukan rondaan pada jarak yang lebih jauh.

Pelan perbelanjaan baharu bernilai AS$5 bilion bagi tempoh 10 tahun yang diumumkan bulan lalu turut merangkumi pelaburan dalam peluru berpandu, keselamatan siber dan dron.

Langkah itu akan meningkatkan perbelanjaan pertahanan New Zealand daripada 1% kepada lebih 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak AS$570 juta dalam tempoh empat tahun untuk penempatan, latihan dan infrastruktur pasukan pertahanan.

Jurucakap Collins memaklumkan, keputusan mengenai jenis pesawat yang akan menggantikan helikopter Seasprite sedia ada akan dibuat selepas perbelanjaan diluluskan kabinet. - AFP

TETITIA YUSOFF