MADRID, 5 Oktober – Puluhan ribu penduduk Sepanyol membanjiri jalan utama di ibu negara, bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan membantah perang berterusan di Gaza serta serangan Israel ke atas flotilla kemanusiaan.
Perarakan besar itu menyaksikan peserta membawa bendera gergasi Palestin sambil melaungkan slogan menuntut penamatan segera konflik di Gaza.
Sebahagian daripada mereka turut mengecam tindakan Israel sebagai satu bentuk genosid terhadap rakyat Palestin.
Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada Jumaat dilaporkan telah menerima beberapa bahagian utama dalam pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, termasuk gencatan senjata, pengunduran tentera Israel, serta pembebasan tebusan dan tahanan Palestin.
Trump turut menggesa Israel menghentikan serangan udara di Gaza selepas Hamas menyatakan kesediaan untuk melepaskan tebusan. Namun, serangan udara rejim Zionis pada Sabtu tetap mengorbankan beberapa nyawa. -REUTERS