fb fb fb fb fb

Aktivis dakwa Greta Thunberg diberi layanan buruk ketika dalam tahanan Israel

Dua aktivis mendakwa aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg dilayan secara buruk ketika ditahan oleh pihak berkuasa Israel selepas flotilla bantuan ke Gaza dipintas tentera negara itu baru-baru ini/REUTERS

ISTANBUL, 5 Oktober – Dua aktivis mendakwa aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg dilayan secara buruk ketika ditahan oleh pihak berkuasa Israel selepas flotilla bantuan ke Gaza dipintas tentera negara itu baru-baru ini.

Dakwaan itu dibuat selepas 137 aktivis termasuk 36 rakyat Turkiye tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada Sabtu, selepas diusir dari Israel.

Turut serta ialah aktivis dari Malaysia, Amerika Syarikat, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya dan beberapa negara lain.

Seorang aktivis Malaysia, Hazwani Helmi berkata Thunberg ditolak dan dipaksa memakai bendera Israel, manakala para tahanan tidak diberi makanan atau air bersih.

“Itu pengalaman yang mengerikan, mereka melayan kami seperti haiwan,” katanya.

Seorang lagi aktivis, Windfield Beaver dari Amerika Syarikat, mendakwa Thunberg dijadikan bahan propaganda dan dipaksa masuk ke sebuah bilik ketika Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, tiba.

Israel bagaimanapun menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai “pembohongan sepenuhnya” dan menegaskan semua tahanan berada dalam keadaan selamat serta sihat.

Israel sebelum ini menerima kecaman antarabangsa selepas menahan lebih 450 aktivis dalam flotilla yang membawa bantuan ke Gaza. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN