KHAN YUNIS, 4 Oktober - Seorang penduduk Palestin, Shereen Kharoub yang kini berlindung di sebuah khemah di Khan Yunis, meluahkan rasa kecewa pada Sabtu berhubung perpindahan berulang kali yang dialaminya.
Beliau berharap gencatan senjata dapat dicapai, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa Israel menghentikan pengeboman di Gaza.
Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk keamanan dan kestabilan, serta mengharapkan peluang untuk menjalani kehidupan normal.
"Saya harap perkara ini benar-benar dilaksanakan, bukan seperti setiap kali kita dengar tentang gencatan senjata tetapi ia tidak berlaku, dan kami terus hidup dengan harapan palsu. Kami tidak mahu janji kosong, sudah cukup.
"Anak-anak kami sudah tiada, kehidupan kami sudah tiada, rumah-rumah kami sudah tiada, semuanya sudah hilang. Cukuplah, kami mahu gencatan senjata yang benar-benar berlaku di lapangan, sungguh-sungguh, saya harap ia dapat dipercepatkan," katanya di sini.
Serangan udara Israel berterusan pada awal Sabtu, namun dilaporkan kurang sengit berbanding hari-hari sebelumnya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 66 penduduk Palestin terbunuh di seluruh Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.
Serangan berterusan Israel terhadap Gaza sejak 7 Oktober 2023 menyebabkan lebih 67,000 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam. -REUTERS