(FOTO REURTERS)
HAITI, 15 Julai- Sekurang-kurangnya 89 orang maut manakala berpuluh lagi cedera dalam keganasan kumpulan bersenjata di ibu negara Haiti dalam tempoh seminggu.
Situasi itu diburukkan lagi dengan krisis kenaikan harga makanan dan kekurangan bahan bakar sehingga menjejaskan keselamatan di bandar Port-au-Prince.
Rangkaian Pertahanan Hak Asasi Manusia Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, kekacauan itu tercetus sejak 7 Julai lalu antara dua kumpulan yang bersaing merebut kawasan setinggan di Cite Soleil, yang dihuni penduduk miskin.
Keganasan itu turut menyaksikan 16 individu hilang manakala 74 lagi cedera.
(Keganasan berlaku di bandar Port-au-Prince sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam/ REUTERS)
"Peningkatan keadaan tidak selamat, kes penculikan yang berulang dan kekurangan bahan bakar adalah kesukaran utama yang kita hadapi di negara ini," kata salah seorang penduduk.
Sementara itu, Ketua misi tempatan Doktor Tanpa Sempadan, Mumuza Muhindo, menggesa kumpulan bertelagah agar membenarkan kakitangannya memasuki Brooklyn, kawasan yang paling terjejas dengan keganasan.
Menurutnya, mayat terbakar dan reput dapat dilihat di sepanjang jalan menuju ke kawasan itu. - REUTERS