fb fb fb fb fb

Puluhan hilang bot terbalik berhampiran pantai Florida

FOTO AFP

MIAMI, 26 Januari- Pengawal Pantai Amerika Syarikat menggerakkan misi menyelamat, bagi mencari 39 individu yang dilaporkan hilang selepas sebuah bot terbalik berhampiran pantai Florida dipercayai ada kaitan dengan aktiviti penyeludupan manusia.

Menurut Pengawal Pantai Miami, mereka menerima maklumat daripada seorang individu yang menyelamatkan seorang lelaki setelah berpaut pada bot tersebut dilokasi kira-kira 73 kilometer, timur Fort Pierce Inlet.

Mangsa memaklumkan, bot meninggalkan Bimini di Bahamas pada malam Sabtu, namun berdepan cuaca buruk menyebabkan bot terbalik.

“Menurut mangsa, tiada sesiapa yang memakai jaket keselamatan. Kru Pengawal Pantai termasuk aset udara dan darat telah diaktifkan untuk mencari mangsa. Disyaki kejadian itu ada kaitan dengan pemerdagangan manusia," jelas kenyataan itu di Twitter.

Sindiket penyeludupan manusia, lazimnya menggunakan Bahamas yang terletak berhampiran pantai Florida, sebagai lokasi memindahkan pelarian, kebanyakan dari negara Caribbean seperti Haiti, ke Amerika Syarikat.

Bimini, daerah paling barat Bahamas dan paling hampir dengan tanah besar, terletak kira-kira 217 kilometer dari Fort Pierce Inlet.

Jumaat lalu, 32 orang diselamatkan selepas sebuah bot karam, kira-kira lapan kilometer ke barat Bimini, juga dilaporkan sebagai percubaan penyeludupan manusia. -AFP

Media Baharu