fb fb fb fb fb

Puluhan ahli geng nasionalis kulit putih didakwa jual fentanyl

Perkataan SFV untuk kumpulan Peckerwoods merujuk kepada "San Fernando Valley" dan akronim untuk "Searching for Victims," seperti yang didakwa oleh pendakwa raya

LOS ANGELES, 3 Oktober- Puluhan ahli kumpulan nasionalis kulit putih telah didakwa pada Rabu atas tuduhan menjual dadah di California, dalam satu tindakan yang dianggap sebagai tamparan besar terhadap sebuah organisasi jenayah neo-Nazi oleh kerajaan AS.

Sejumlah besar senjata haram dan dadah jalanan berbahaya, termasuk fentanyl, opioid sintetik yang menghancurkan komuniti di seluruh negara telah dirampas dalam serbuan terkoordinasi yang menyasarkan San Fernando Valley Peckerwoods, yang beroperasi berhampiran Los Angeles.

"Ideologi ganas kumpulan nasionalis kulit putih dan aktiviti jenayah oleh Peckerwoods menimbulkan ancaman besar kepada komuniti kita," kata Peguam Amerika Syarikat, Martin Estrada.

"Dengan dakwaan terlibat dalam pelbagai jenayah daripada pengedaran dadah hingga kesalahan senjata api, penipuan identiti hingga penipuan COVID, serta hubungan mereka dengan geng penjara neo-Nazi, Peckerwoods adalah kumpulan yang merosakkan," tambah Estrada.

Pendakwaan juri besar yang dibuka pada hari Rabu mendakwa 68 defendan dengan pelbagai jenayah persekutuan termasuk pemerasan, pengedaran dadah, penipuan dan kesalahan senjata api.

Pendakwaan 76 tuduhan itu mendakwa Peckerwoods menerima arahan daripada Aryan Brotherhood, salah seorang ahli geng supremasi kulit putih yang dominan di penjara California dan mengekalkan hubungan dengan geng penjara mafia Mexico, yang mengawal kebanyakan geng jalanan Latino di negeri itu.

Peckerwoods mempunyai tatu Nazi dan ikonografi yang termasuk swastika, nombor "88" kod yang digunakan oleh pelampau untuk "Heil Hitler" serta imej pesawat Nazi.

"Jabatan Kehakiman telah memberikan tamparan besar kepada San Fernando Valley Peckerwoods, sebuah geng ketuanan kulit putih yang ganas, yang kami dakwa bertanggungjawab mengedar fentanyl, melakukan rompakan, serta penipuan kewangan untuk membiayai operasi jenayah mereka dan juga Aryan Brotherhood," kata Peguam Negara Merrick Garland.

Fentanyl, yang telah banyak diedarkan di seluruh Amerika Syarikat, juga telah disalahgunakan secara meluas, menyebabkan puluhan ribu kes ketagihan dan kematian yang melanda hampir setiap bahagian negara.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE