fb fb fb fb fb

PRU Singapura: Rakyat keluar mengundi seawal 8.00 pagi

Foto Reuters

SINGAPURA, 3 Mei - Rakyat Singapura hari ini keluar mengundi dalam pilihan raya umum yang menyaksikan Perdana Menteri Lawrence Wong menentang pembangkang yang semakin mendapat sokongan.

Parti pemerintah Wong, Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang sekian lama memerintah dan membawa kemakmuran kepada negara itu, dijangka dapat mengekalkan majoriti besar di Parlimen dengan mudah.

Pusat pengundian dibuka pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan yang akan berlangsung selama 12 jam. Keputusan awal dijangka diumumkan tengah malam ini.

Sepanjang kempen, Wong menegaskan bahawa beliau memerlukan mandat kuat untuk membawa Singapura menghadapi ketidaktentuan ekonomi, terutamanya susulan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau memberi amaran bahawa Singapura akan terkesan sekiranya Trump meneruskan tarif. Wong menekankan keperluan negara itu agar kekal terbuka dan berdaya saing.

"Jadi saya katakan kepada semua rakyat Singapura, tolong fikir dengan teliti. Ini bukan perjudian. Ini tentang keluarga anda, masa depan anda, Singapura kita," katanya dalam ucapan kempen.

Menurut penganalisis politik Nydia Ngiow, PAP telah lama dilihat sebagai pihak yang membawa kestabilan semasa krisis, namun isu tarif global mungkin belum memberi kesan besar kepada pilihan pengundi.

“Memandangkan pilihan raya di Singapura biasanya tertumpu kepada isu tempatan, geopolitik tidak mungkin menjadi faktor utama kecuali rakyat benar-benar merasai kesannya terhadap kos sara hidup, keselamatan pekerjaan, atau ekonomi secara keseluruhan,” katanya kepada AFP.

Dengan majoriti besar PAP dalam Parlimen satu dewan Singapura, pemerhati politik menjangka bahawa pembangkang akan menganggap sebarang penambahan kerusi sebagai satu kemenangan besar.

Namun, dominasi PAP semakin dicabar oleh pengundi yang lebih bersuara, terutama golongan muda yang lebih terbuka kepada pandangan politik alternatif.

“Pengundi muda akan menjadi faktor di beberapa kawasan. Tidak seperti generasi lebih tua, mereka bersedia mendengar kedua-dua pihak dan membuat keputusan secara berinformasi,” kata pemerhati politik dan bekas editor berita veteran, P.N. Balji.

Wong, yang meraih populariti selepas mengetuai pasukan khas COVID-19 Singapura, mengambil alih jawatan perdana menteri tahun lalu daripada Lee Hsien Loong, anak kepada perdana menteri pengasas, Lee Kuan Yew.

Singapura mempunyai kira-kira 2.75 juta pengundi yang layak untuk memilih 97 ahli parlimen. - AFP

TETITIA YUSOFF