fb fb fb fb fb

Rundingan nuklear Iran-AS ditangguhkan atas faktor logistik

Foto Reuters

ROM, 3 Mei - Pusingan keempat rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijadual berlangsung pada Sabtu dengan pengantaraan Oman ditangguhkan atas sebab logistik.

Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Hamad Al Busaidi dalam kenyataan berkata, tarikh baharu rundingan akan diumumkan setelah semua pihak sepakat mencapai persetujuan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, turut mengesahkan penangguhan itu dan memaklumkan bahawa pusingan baharu rundingan nuklear secara tidak langsung dengan Amerika Syarikat ditangguhkan atas permintaan Menteri Luar Oman.

Baghaei menegaskan bahawa Iran tetap komited untuk mencapai perjanjian yang adil dan berkekalan.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, berkata pada Khamis bahawa rundingan pusingan keempat dijangka berlangsung dalam masa terdekat, dan menambah bahawa pertemuan yang dirancang pada 3 Mei sebenarnya belum pernah disahkan secara rasmi.

Susulan penangguhan itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, mengumumkan bahawa rundingan nuklear yang dijadualkan antara Iran, Britain, Perancis, dan Jerman pada 2 Mei juga tidak akan diteruskan seperti yang dirancang.

Untuk rekod, pusingan pertama dan ketiga rundingan, yang diketuai oleh Araghchi dan Utusan Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, telah berlangsung di ibu negara Oman, Muscat, pada 12 dan 26 April, manakala pusingan kedua telah diadakan di Rom pada 19 April. - REUTERS

TETITIA YUSOFF