fb fb fb fb fb

Tentera AS wujudkan zon ketenteraan baharu di sempadan Mexico

Foto Reuters

WASHINGTON, 3 Mei - Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mewujudkan satu lagi zon ketenteraan di sepanjang sempadan dengan Mexico, melibatkan kawasan di Texas yang membenarkan tentera menahan sementara migran atau penceroboh.

Zon baharu itu diwujudkan selepas zon seumpamanya diperkenalkan di New Mexico bulan lalu.

Presiden Donald Trump sebelum ini melancarkan kempen penguatkuasaan imigresen secara agresif sejak memegang jawatan, termasuk meningkatkan jumlah tentera di sempadan selatan serta berikrar mengusir berjuta-juta pendatang yang berada di negara itu secara haram.

Pada April lalu, pentadbiran Trump mengumumkan kawasan seluas 170 batu persegi (440 kilometer persegi) di pangkalan New Mexico sebagai “Kawasan Pertahanan Negara”.

Lewat Khamis, tentera AS memaklumkan mereka telah menubuhkan “Kawasan Pertahanan Negara Texas” di kawasan sepanjang 63 batu bermula dari sempadan Texas–New Mexico di El Paso dan melanjut ke arah timur.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) kekal mempunyai bidang kuasa terhadap pencerobohan sempadan haram di kawasan itu.

Mana-mana migran yang ditahan oleh tentera akan diserahkan kepada Pasukan Peronda Sempadan AS atau pihak penguatkuasa undang-undang awam lain.

Setakat ini, seramai 82 migran telah didakwa kerana menceroboh zon ketenteraan di New Mexico, menurut Pejabat Peguam Negara AS negeri tersebut. Tiada seorang pun daripada mereka ditahan oleh tentera dan kesemuanya dikendalikan oleh pegawai CBP.

Zon tersebut diwujudkan bagi membolehkan pentadbiran Trump menggunakan tentera untuk menahan migran tanpa perlu menguatkuasakan Akta Pemberontakan 1807 yang memberi kuasa kepada presiden untuk mengerahkan tentera dalam situasi rusuhan awam.

Kini, kira-kira 11,900 anggota tentera ditempatkan di sempadan. Data kerajaan menunjukkan jumlah migran yang ditahan kerana menyeberang secara haram pada Mac menurun ke paras terendah yang pernah direkodkan.

Gabenor Texas, Gregg Abbott, pada Khamis memuat naik gambar pembinaan penghadang kawat berduri sambil menyatakan bahawa “Texas terus bekerjasama dengan pentadbiran Trump untuk menghentikan imigresen haram”.

Sementara itu, Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham, menentang langkah tersebut yang disifatkannya sebagai “zon penampan pengusiran”, dan dalam satu hantaran media sosial pada Mac lalu menyebutnya sebagai “pembaziran sumber dan tenaga tentera”.

Pejabat Senator AS New Mexico, Martin Heinrich, pada Jumaat memaklumkan zon penampan itu mempunyai keluasan beberapa batu di beberapa kawasan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam yang mungkin memasuki kawasan tersebut secara tidak sengaja.

“Ia jauh lebih luas daripada hanya Rizab Roosevelt yang selebar 60 kaki,” kata jurucakap Heinrich, Caty Payette kepada Source NM, merujuk kepada jalur tanah persekutuan yang terletak di sepanjang sempadan itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN