fb fb fb fb fb

Dron Rusia serang pangsapuri di Kharkiv, 46 cedera

Foto Reuters

KHARKIV, 3 Mei - Rusia melancarkan serangan besar-besaran menggunakan dron ke atas bandar Kharkiv, Ukraine, lewat Jumaat, menyebabkan sebuah blok pangsapuri tinggi terbakar dan mencederakan 46 orang, menurut pegawai tempatan.

Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov berkata serangan tersebut mengenai 12 lokasi di empat daerah pusat bandar, yang kerap menjadi sasaran serangan udara Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, mengecam serangan itu yang disifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

Menurut beliau, puluhan dron telah dilancarkan dan beliau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan bantuan daripada sekutu-sekutu Ukraine dalam memperkukuhkan pertahanan udara negara itu.

“Tiada sasaran ketenteraan, dan memang tidak mungkin ada. Rusia menyerang kediaman ketika rakyat Ukraine berada di rumah mereka, ketika mereka menidurkan anak-anak mereka,” katanya menerusi Telegram.

Beliau menegaskan Ukraine memerlukan pertahanan udara yang lebih kukuh serta keputusan tegas daripada sekutu seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Terekhov turut memaklumkan sebuah rumah persendirian turut terkena serangan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun antara yang cedera, manakala lapan orang kini dirawat di hospital.

Gabenor wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov, berkata pasukan kecemasan bertungkus-lumus sepanjang malam bagi menangani kesan serangan meskipun terdapat kebimbangan serangan ulangan.

Sementara itu, pihak berkuasa wilayah memaklumkan empat orang turut cedera dalam serangan gabungan dron dan artileri Rusia di kawasan timur Nikopol, wilayah Dnipropetrovsk.

Di wilayah Kherson pula, seorang penduduk kampung maut apabila sebuah dron yang terjatuh meletup semasa beliau cuba mengalihkannya dari sebuah rumah.

Rusia menafikan pihaknya menyasarkan orang awam secara sengaja, walaupun puluhan ribu orang telah terbunuh sejak pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan unit pertahanan udara mereka telah memusnahkan 10 dron Ukraine dalam masa sejam, lapan di wilayah sempadan Bryansk dan dua di semenanjung Crimea, yang ditawan Moscow pada 2014.

Pemangku Gabenor wilayah Rostov, Yuri Slyusar, berkata dron Ukraine turut dimusnahkan di lima daerah dalam wilayah itu.

Serpihan dron yang jatuh menyebabkan beberapa rumah rosak, namun tiada kematian dilaporkan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN