fb fb fb fb fb

Lelaki illinois dipenjara 53 tahun, bunuh kanak-kanak Palestin-Amerika

Ahli keluarga dan anggota komuniti menghadiri pengebumian Wadea Al-Fayoumi pada 16 Oktober 2023 di LaGrange, Illinois/Foto AFP

WASHINGTON, 3 Mei - Seorang lelaki dari Illinois dijatuhi hukuman penjara 53 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki warga Palestin-Amerika, 6 tahun, dalam satu serangan yang dianggap sebagai jenayah kebencian antiMuslim, berkaitan konflik Israel-Hamas.

Joseph Czuba, 73 tahun, telah disabitkan kesalahan pada Februari lalu kerana menikam Wadea Al-Fayoumi hingga mati dan menyerang ibu kanak-kanak malang itu, Hanan Shaheen. Kejadian berlaku pada Oktober 2023.

Wadea telah ditikam sebanyak 26 kali menggunakan pisau sepanjang 15 sentimeter (enam inci) dan telah dikeluarkan daripada perut kanak-kanak itu ketika bedah siasat dijalankan.

Shaheen dan bekas isteri Czuba, Mary, memberi keterangan bahawa Czuba menyasarkan keluarga Muslim itu kerana berang terhadap konflik di Gaza, lapor media.

Pendakwa raya berkata Shaheen telah menghubungi polis pada 2023 selepas Czuba memecah masuk ke biliknya dan menikamnya berulang kali. Dia berjaya mengunci diri di dalam bilik air untuk meminta bantuan, dan dalam masa itu Czuba menyerang anaknya.

"Kekejaman pembunuh yang tidak bermoral ini dan kesan perbuatannya yang ganas terhadap seorang kanak-kanak dan ibunya benar-benar tidak dapat digambarkan,” kata pendakwa raya James Glasgow dalam satu kenyataan.

Semasa sesi hukuman, bapa saudara mangsa, Mahmoud Yousef mengajukan soalan kepada Czuba alasan dia melakukan perbuatan kejam itu, namun tidak menerima sebarang jawapan, lapor akhbar itu.

"Kami mahu tahu apa yang mendorong dia melakukan perkara ini," kata Yousef kepada hakim.

Joe Biden, yang ketika itu Presiden Amerika Syarikat turut mengutuk serangan itu. - AFP

TETITIA YUSOFF