LA PAZ, 2 Mei - Lima penumpang pesawat kecil terselamat selepas melalui detik cemas 36 jam terperangkap di dalam kawasan paya yang dipenuhi buaya apabila pesawat itu melakukan pendaratan cemas di hutan Amazon Bolivia, menurut pihak berkuasa tempatan dan juruterbang pada Jumaat.
Kesemua mangsa membabitkan tiga wanita, seorang kanak-kanak, dan juruterbang berusia 29 tahun, kata pengarah pusat operasi kecemasan di wilayah Beni, Wilson Avila.
Pesawat itu dalam penerbangan dari bandar Baures ke bandar Trinidad di tengah utara, sejauh 180 kilometer sebelum insiden.
Juruterbang Andres Velarde memberitahu media tempatan bahawa pesawat itu secara tiba-tiba mula kehilangan altitud.
Beliau cuba mencari kawasan lapang untuk mendarat tetapi akhirnya terpaksa memilih kawasan paya berhampiran sebuah lagun.
Kelima-lima mereka mendapati diri mereka “dikelilingi buaya dengan jarak tiga meter daripada kami,” kata Velarde, sambil menambah bahawa beliau mengesyaki kebocoran minyak kerosin daripada pesawat telah menghalang pemangsa itu daripada menyerang.
Mereka juga ternampak seekor anaconda di dalam air yang keruh itu.
Untuk bertahan hidup, mereka makan tepung ubi kayu tempatan yang dibawa oleh salah seorang penumpang.
“Kami tidak dapat minum air dan kami tidak boleh ke mana-mana kerana buaya,” kata Velarde.
Kesemua mereka diselamatkan selepas dikesan nelayan tempatan dan dibawa ke hospital. - AFP