CALGARY, 3 Mei – Musim kebakaran hutan di Kanada telah bermula, dengan pihak berkuasa di wilayah paling barat negara itu, British Columbia (B.C.), memberi amaran terhadap risiko kebakaran di wilayah berkenaan.
Perkhidmatan Kebakaran Hutan B.C. pada Jumaat memaklumkan bahawa terdapat 26 kebakaran aktif sedang berlaku di wilayah tersebut, dengan dua daripadanya berada di luar kawalan.
Amaran turut dikeluarkan berikutan keadaan cuaca panas luar biasa, kering dan berangin, yang meningkatkan risiko berlakunya kebakaran.
Kebakaran pertama berlaku di utara bandar Fort St. John di timur laut B.C. t membabitkan kawasan seluas 56 hektar pada Jumaat.
Kebakaran itu menyebabkan penduduk bandar tersebut dipindahkan sementara pada Khamis, namun mereka dibenarkan pulang pada Jumaat selepas kebakaran mulai reda.
Kebakaran kedua juga dilaporkan telah membakar kawasan seluas 185 hektar di tenggara komuniti Dawson Creek, pada Jumaat
Kerajaan wilayah B.C. menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kebakaran, tidak kira besar atau kecil.
Musim kebakaran hutan Kanada pada tahun 2024 sebelum ini dianggap antara yang paling buruk dalam sejarah, susulan kemusnahan teruk yang berlaku di sebuah bandar pelancongan di kawasan Pergunungan Rockies.-REUTERS.