LONDON, 3 MEI-Microsoft secara rasmi mengumumkan bahawa perkhidmatan Skype akan ditamatkan sepenuhnya pada Isnin, 5 Mei 2025.
Penamatan tersebut menandakan berakhirnya era sebuah platform komunikasi internet yang pernah merevolusikan cara manusia berhubung merentasi sempadan.
Microsoft dalam kenyataannya pada Februari lalu menyatakan bahawa penamatan Skype akan membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada perkhidmatan Microsoft Teams, selaras dengan usaha menyederhanakan tawaran komunikasi mereka.
Microsoft memfokuskan Teams dengan mengintegrasikannya ke dalam aplikasi pejabat lain bagi menarik pengguna korporat iaitu kelompok yang dahulunya menjadi teras pengguna Skype.
Dilancarkan pada tahun 2003, Skype pernah menggegarkan industri talian tetap dengan panggilan audio dan video percuma, sehingga memuncak dengan ratusan juta pengguna.
Namun, Skype mula ketinggalan apabila muncul pesaing yang lebih mesra pengguna dan stabil seperti Zoom dan Slack (milik Salesforce) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kelemahan teknologi asas Skype yang kurang sesuai untuk era telefon pintar antara punca kejatuhannya ketika pandemik COVID-19 mencetuskan keperluan mendesak untuk panggilan perniagaan dalam talian.-REUTERS.