fb fb fb fb fb

Protes pemimpin Maori, 'haka' bergema di parlimen New Zealand

Foto AFP

WELLINGTON, 16 November- Bantahan terhadap rang undang-undang perhubungan, punca tarian haka dilancar ahli parlimen Maori dalam sidang Dewan Perwakilan New Zealand.

Ini sekali gus mencetuskan protes di seluruh negara.

Usaha kontroversial kerajaan pada Khamis untuk mentafsir semula Perjanjian Waitangi yang telah berusia berabad-abad antara Maori di New Zealand dan penjajah eropah, ditolak pemimpin kaum minoriti itu ketika undian berlangsung.

Namun, prosiding tersebut terganggu apabila Ahli Parlimen Parti Maori, Hana-Rawhiti Maipi-Clarke, 22 tahun, bangun dan mengoyakkan rang undang-undang tersebut dan memulakan tarian haka.

Ahli-ahli parti beliau kemudiannya berjalan ke lantai parlimen untuk menyertainya dalam haka Ka Mate, satu cabaran simbolik yang terkenal dengan pasukan ragbi All Blacks negara itu.

Speaker Parlimen, Gerry Brownlee, mengarahkan orang awam yang berada di galeri penonton untuk keluar dan menghentikan sementara prosiding tersebut, mengutuk gangguan yang dianggap "sangat tidak teratur".

Ketegangan di New Zealand mula memuncak selepas sebuah parti kecil dalam kerajaan campuran memperkenal rang undang-undang untuk mentafsir semula Perjanjian Waitangi.

Perjanjian tersebut dianggap sebagai dokumen pengasas negara itu ditandatangani pada tahun 1840 untuk membawa keamanan antara 540 ketua Maori dan pasukan penjajah British.

Pihak-pihak yang mengkritik rang undang-undang itu mendakwa ia akan menggugat pendidikan dan program-program lain yang memberi manfaat kepada rakyat Maori.

Walaupun ia tidak berkemungkinan untuk diluluskan, para pengkritik berpendapat bahawa rang undang-undang ini tetap berisiko merosakkan hubungan antara kaum dengan serius.

Ribuan orang telah menyertai perarakan protes "hikoi" yang merentas negara untuk menentang rang undang-undang ini, menyekat lebuh raya utama sambil bergerak perlahan ke arah ibu negara Wellington.

Gerakan tersebut yang kini dianggarkan melibatkan 10,000 penunjuk perasaan, dijangka akan tiba di kawasan lapang parlimen, awal minggu depan.

Ketua bersama Parti Maori, Rawiri Waititi mendakwa, kerajaan sedang mencetuskan peperangan terhadap kewujudan orang Maori dan mengugat hak serta struktur negara.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM