fb fb fb fb fb

Protes Indonesia: Tiga maut, Pejabat Dewan Perwakilan Rakyat dibakar

Protes di Indonesia semakin memuncak apabila bangunan Pejabat Dewan Perwakilan Rakyat dibakar penunjuk perasaan petang semalam

MAKASSAR, 30 Ogos - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila penunjuk perasaan membakar pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Makassar pada petang semalam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara selepas seorang penunggang motosikal e-hailing maut dirempuh kenderaan polis.

Setiausaha Majlis Perbandaran Makassar, Rahmat Mappatoba mengesahkan dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital selepas terperangkap dalam bangunan terbakar.

“Biasanya ketika demonstrasi, mereka hanya baling batu atau bakar tayar di hadapan pejabat. Namun kali ini, mereka menceroboh masuk dan membakar bangunan,” katanya dipetik AFP.

Beliau memaklumkan dua daripada mangsa merupakan kakitangan majlis tempatan manakala seorang lagi penjawat awam.

Dalam kejadian sama, sekurang-kurangnya empat orang cedera dan kini dirawat di hospital. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN