fb fb fb fb fb

Protes di Pakistan, laungan slogan patriotik dan anti-Amerika

ISLAMABAD, 11 April - Beribu-ribu penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan membanjiri bandar-bandar utama Pakistan lewat malam tadi, sehari selepas pemimpin itu tewas dalam undi tidak percaya di Parlimen.

Orang ramai membabitkan belia, wanita dan seluruh keluarga melaungkan slogan patriotik dan anti-Amerika serta memegang sepanduk dengan mesej kuat menyokong Imran.

Protes dilapor diadakan di Islamabad, Lahore, Karachi, Peshawar, Quetta dan Rawalpindi.

Dalam reaksinya di Twitter, Imran mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pakistan atas sokongan yang menakjubkan untuk membantah perubahan rejim yang disokong Amerika Syarikat itu.

Imran disingkirkan pada pagi Ahad, apabila pakatan pembangkang Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) memperoleh 174 undi dalam undi tidak percaya di Parlimen.

Ia sekali gus memberikan majoriti yang mereka perlukan untuk membolehkan pengundian hari ini untuk memilih Perdana Menteri baharu.

Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Shehbaz Sharif, yang merupakan abang kepada bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, adalah pilihan gabungan pembangkang untuk menggantikan Imran.

(Shehbaz Sharif serah pencalonannya untuk menjadi Perdana Menteri Pakistan baharu
kepada badan perundangan/FOTO FAIL)

Sementara itu, ahli politik pembangkang Shehbaz Sharif menyerahkan pencalonannya untuk menjadi Perdana Menteri Pakistan baharu kepada badan perundangan pada Ahad.

Ia selepas Imran kalah dalam undi tidak percaya di Parlimen selepas hampir empat tahun memerintah.

Syehbaz, yang juga Ketua Menteri Punjab disifatkan sebagai seorang pemimpin yang telah berjaya membangunkan kawasan pemerintahannya dengan pelbagai projek infrastuktur mega.

Penganalisis berpendapat gaya pemerintahan Syehbaz sangat berbeza dengan pendekatan lepas tangan Nawaz.

Ini kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan tentera, yang secara tradisinya mengawal polisi luar seperti hubungan dengan India dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, parti Tehreek-e-Insaf (PTI) mencalonkan bekas Menteri Luar Negeri, Shah Mahmood Qureshi untuk menentang Shehbaz dalam undian Parlimen hari ini.

Media Baharu