fb fb fb fb fb

Protes di Belgrade atas penipuan pilihan raya

Penunjuk perasaan pembangkang Serbia memecahkan tingkap ketika mereka cuba menyerbu dewan bandar Belgrade petang semalam / AFP

BELGRADE, 25 Disember- Pembangkang Serbia melakukan protes dengan memecahkan tingkap ketika mereka cuba menyerbu dewan bandar Belgrade petang semalam sebagai tanda bantahan berhubung dakwaan penipuan pilihan raya, dengan polis menolak mereka kembali dengan semburan pemedih mata, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Penunjuk perasaan menggunakan tiang bendera, batu dan telur untuk memecahkan tingkap bangunan pentadbiran ibu kota dan cuba memecah masuk tetapi dengan cepat dihalang oleh pihak polis.

Sekitar jam 10.00 malam waktu tempatan, polis menyuraikan orang ramai.

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic berkata bahawa dua pegawai polis "cedera parah" semasa protes berlaku dan ramai mengalami kecederaan ringan.

Sementara 35 individu terlibat dengan insiden itu telah ditahan polis.

Vucic menyifatkan insiden itu sebagai percubaan "pengambilalihan secara paksa institusi negara", sambil menambah bahawa terdapat bukti bahawa "semuanya telah dirancang lebih awal".

"Kami mempunyai bukti kukuh untuk menyokongnya dan kami tidak akan berputus asa ... Tiada siapa yang berhak untuk memusnahkan 'rumah' kami, untuk memusnahkan harta negara dan rakyat kami, apatah lagi menyebabkan kecederaan serius kepada pegawai polis kami," Vucic memberitahu Pink TV pro-kerajaan lewat Ahad.

Serbia mengadakan pilihan raya parlimen dan tempatan pada 17 Disember, di mana parti Presiden Aleksandar Vucic berkata ia telah memperoleh kemenangan besar.

Tetapi sepasukan pemerhati antarabangsa - termasuk wakil dari Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) - melaporkan berlaku "penyelewengan", termasuk "pembelian undi" dan "penyumbatan peti undi".

Dakwaan itu mencetuskan bantahan di hadapan bangunan suruhanjaya pilihan raya Serbia yang berlangsung selama beberapa hari, dan tujuh anggota kem pembangkang utama - bersatu di bawah sepanduk "Serbia Menentang Keganasan" - memulakan mogok lapar yang bertujuan untuk membatalkan keputusan.

Vucic berkata bahawa kerajaan "akan dapat" menangkap dan membawa ke muka pengadilan mereka yang bertanggungjawab atas insiden di hadapan dewan bandaraya.

Dalam satu kenyataan, kementerian dalam negeri Serbia menggesa penunjuk perasaan untuk mengelak daripada keganasan.

Ia menambah bahawa polis telah memberi amaran kepada wakil kem utama pembangkang sebelum pilihan raya bahawa mereka mempunyai risikan bahawa demonstrasi ganas dan menceroboh bangunan kerajaan telah dirancang.

Polis menambah bahawa pada masa itu pemimpin pembangkang telah "menjamin bahawa tiada peristiwa seperti itu akan berlaku", kata kenyataan itu.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI