fb fb fb fb fb

Sepanyol tidak sertai pakatan Laut Merah pimpinan AS

Sepanyol tidak akan menyertai pakatan diketuai AS untuk melindungi perkapalan Laut Merah daripada serangan pemberontak Huthi Yaman/ AFP

MADRID, 25 Disember- Sepanyol tidak akan menyertai pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi perkapalan Laut Merah daripada serangan pemberontak Huthi Yaman.

Huthi yang disokong Iran telah melakukan beberapa serangan ke atas perkapalan Laut Merah yang mereka katakan menyokong rakyat Palestin semasa perang Israel-Hamas di Gaza.

Pada hari Khamis, Pentagon berkata 20 negara telah menyertai gabungan pimpinan Washington untuk melindungi lorong perkapalan utama.

Kementerian pertahanan memberitahu AFP bahawa Sepanyol "tidak akan mengambil bahagian".

Walaupun tiada alasan diberikan, akhbar Sepanyol berkata keputusan adalah didorong oleh politik domestik.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez sedang dalam proses membentuk gabungan dan memerlukan sokongan parti kiri radikal Sumar, yang menentang dasar luar AS.

Golongan Huthi mengalu-alukan pendirian Sepanyol, dengan Timbalan Menteri Luar Negeri, Hussein al-Ezzi berkata "kami amat menghargai keengganan Sepanyol untuk dimasukkan ke dalam pembohongan Amerika dan British dalam isu pelayaran maritim".

Jurucakap Pentagon Mejar Jeneral Pat Ryder berkata pada hari Khamis bahawa pasukan pakatan akan "berfungsi sebagai peronda lebuh raya, meronda di Laut Merah dan Teluk Aden untuk bertindak balas dan membantu apabila perlu- kapal komersial yang sedang transit di laluan air antarabangsa yang penting ini" . -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI