fb fb fb fb fb

Protes besar di Tel Aviv desak hentikan genosid Gaza

Ribuan penduduk Israel berhimpun di Dataran Habima, Tel Aviv, membantah genosid di Gaza dan menuntut pentadbiran zionis segera hentikan perang. Foto- REUTERS

TEL AVIV, 24 Ogos - Penderitaan rakyat Palestin di Gaza terus mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apabila ribuan penduduk Israel sendiri turun ke jalan raya di Tel Aviv menuntut pengakhiran segera terhadap genosid berterusan rejim Zionis.

Lebih 2,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Habima, membawa sepanduk menuntut penghentian pembunuhan beramai-ramai termasuk kanak-kanak di Gaza dan mengutuk tindakan menjadikan kebuluran sebagai senjata perang.

Dalam masa sama, peserta turut membawa gambar tebusan Israel yang ditahan di Gaza dan menuntut pentadbiran rejim segera mengusahakan pembebasan.

Badan pemantau disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu, Integrated Food Security Phase Classification (IPC), pada 15 Ogos lalu mengesahkan kebuluran berlaku di Gaza akibat sekatan Israel.

Tekanan terhadap Israel semakin meningkat selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan kejam ke atas wilayah berkenaan.-REUTERS

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN