BOGOTA, 24 Ogos - Dua anggota gerila dituduh melakukan serangan bom lori di Cali yang mengorbankan enam orang awam dan mencederakan lebih 60 mangsa.
Pejabat Pendakwa Colombia dalam kenyataan berkata, kedua-dua suspek berdepan pertuduhan pembunuhan dengan niat jahat serta beberapa kesalahan lain.
Serangan pada Khamis lalu berlaku di hadapan sebuah sekolah penerbangan tentera di Cali, bandar ketiga terbesar Colombia. Letupan itu berpunca daripada lori yang membawa silinder berisi bahan letupan berasaskan ammonium nitrat dan bom mortar.
Sumber berkata, kedua-dua suspek yang dikenal pasti sebagai Walter Yonda dan Carlos Obando Aquirre merupakan anggota kumpulan Jaime Martinez Front di bawah Central General Staff (EMC).
Menurut pejabat pendakwa, jika sabit kesalahan mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga 50 tahun.
Presiden Gustavo Petro dalam kenyataan di platform X sebelum ini turut mengumumkan penahanan seorang lagi anggota Jaime Martinez, Diomar Mancilla, yang disyaki terlibat dalam serangan ke atas orang awam.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Pedro Sanchez berkata, kerajaan akan menggembleng semua sumber bagi menumpaskan ancaman keselamatan di negara itu. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai keselamatan di wilayah Antioquia untuk menyelaras usaha menentang kumpulan gerila, paramilitari dan kartel yang terbabit dalam pengedaran dadah, pemerasan serta perlombongan haram.
Menurut pihak berkuasa, kumpulan gerila bertanggungjawab terhadap puluhan serangan kebelakangan ini termasuk pembunuhan seorang calon presiden konservatif.-AFP