GAZA, 24 Ogos - Beberapa letupan menggegarkan kawasan utara Gaza awal pagi Ahad, ketika badan pemantau global mengesahkan wilayah itu kini secara rasmi dilanda kebuluran.
Dalam laporan bertarikh Jumaat lalu, Integrated Food Security Phase Classification (IPC) menyatakan seramai 514,000 penduduk Gaza, hampir suku daripada keseluruhan populasi, sedang mengalami kebuluran. Angka itu dijangka meningkat kepada 641,000 menjelang akhir September.
Menurut IPC, sekitar 280,000 penduduk berada di kawasan utara termasuk Gaza City, kini disahkan berada dalam situasi kebuluran selepas hampir dua tahun perang antara Israel dengan Hamas.
Ini merupakan kali pertama IPC merekodkan kebuluran di luar benua Afrika. Badan itu turut memberi amaran keadaan sama akan merebak ke wilayah tengah dan selatan, termasuk Deir al-Balah dan Khan Younis, pada penghujung bulan depan.
IPC menambah, keadaan di kawasan utara berkemungkinan lebih buruk berbanding Gaza City, namun kekangan mendapatkan data tepat menyukarkan penilaian. Reuters sebelum ini melaporkan badan itu berdepan halangan untuk mendapatkan akses bagi menilai tahap krisis secara menyeluruh.
Israel bagaimanapun menolak laporan tersebut sebagai tidak tepat dan berat sebelah, dengan alasan penilaian IPC bergantung kepada data tidak lengkap yang kebanyakannya disalurkan oleh Hamas serta tidak mengambil kira penghantaran makanan baru-baru ini.-REUTERS