fb fb fb fb fb

Protes antikerajaan terus memuncak, Presiden Georgia rayu sokongan Barat

Foto REUTERS

TBILISI, 3 Disember-Presiden Georgia, Salome Zourabichvili, yang kini berkonflik dengan kerajaannya sendiri, merayu kepada negara-negara Barat pada Isnin untuk menyokong apa yang beliau gelar sebagai "Gerakan Nasional demi memastikan Georgia kekal di landasan integrasi bersama Kesatuan Eropah (EU).

Zourabichvili membuat kenyataan itu beberapa jam sebelum protes besar-besaran yang memasuki malam kelima berturut-turut menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak polis.

Protes bermula selepas parti pemerintah, Georgian Dream, mengumumkan penangguhan rundingan untuk menyertai EU minggu lalu.

Keputusan itu dianggap oleh pengkritik sebagai tanda pengaruh Rusia yang cuba membawa Georgia kembali ke pengaruh Moscow, sesuatu yang dinafikan oleh parti pemerintah.

Dalam temu bual bersama Reuters, Zourabichvili menggesa negara-negara Eropah supaya menghantar mesej tegas bahawa mereka tidak akan mengiktiraf keputusan pilihan raya Oktober lalu, yang memberi Georgian Dream kemenangan sebanyak 54% undi dan mendesak pilihan raya diadakan semula.

Beliau dan parti pembangkang mendakwa pilihan raya itu penuh dengan penipuan, tuduhan yang dinafikan oleh Georgian Dream dan suruhanjaya pilihan raya.

Zourabichvili, yang dilahirkan di Perancis dan pernah menjadi duta Perancis ke Georgia, menegaskan bahawa Rusia sedang melancarkan "perang hibrid" bukan sahaja terhadap Georgia tetapi juga kepada negara-negara seperti Moldova dan Romania.

“Dukungan kuat dari Barat adalah satu-satunya jalan politik keluar dari krisis ini.

"Tiada solusi politik lain,” katanya, sambil memuji pegawai-pegawai yang berani meletak jawatan kerana memprotes kerajaan, termasuk empat duta dan Ketua Akademi Latihan Kementerian Dalam Negeri Georgia.

Apabila malam menjelang, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar parlimen dan pihak polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling mercun, seperti yang berlaku pada malam-malam sebelumnya.

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menafikan sebarang campur tangan Rusia dalam situasi di Georgia dan membandingkan keadaan itu dengan revolusi Maidan 2014 di Ukraine.

Bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev, memberi amaran bahawa Georgia sedang “bergerak pantas ke arah seperti Ukraine, menuju jurang gelap” yang menurutnya akan berakhir dengan buruk.

Namun, Zourabichvili menolak dakwaan bahawa situasi di negaranya adalah revolusi seperti yang pernah berlaku di Ukraine.

Amerika Syarikat dan EU telah menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang mereka anggap sebagai kemunduran demokrasi di Georgia, sebuah negara di persimpangan Eropah dan Asia dengan penduduk seramai 3.7 juta orang.

Kerajaan Georgia, baru-baru ini menggubal undang-undang kontroversi mengenai "ejen asing" dan mengehadkan hak LGBT, mengatakan mereka bertindak untuk melindungi negara daripada campur tangan luar dan mengelakkan perang dengan Rusia.

Namun, Perdana Menteri Irakli Kobakhidze menuduh pembangkang melakukan “keganasan terancang” untuk menggulingkan perlembagaan.

Beliau turut menolak sebarang kemungkinan rundingan untuk menyelesaikan krisis itu.

Kementerian Dalam Negeri Georgia melaporkan bahawa 21 pegawai polis cedera dalam protes pada Ahad hingga Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan 113 pegawai yang cedera sejak ketegangan bermula.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan juga dilaporkan cedera.

Dalam pada itu,Amerika Syarikat mengecam penggunaan kekerasan berlebihan oleh polis, manakala pegawai awam Georgia menyatakan bahawa 124 daripada 156 orang yang ditahan mendakwa telah dianiaya oleh polis.

Dalam perkembangan lain, Lithuania bersama Latvia dan Estonia mengumumkan larangan kemasukan terhadap Bidzina Ivanishvili, penyokong jutawan Georgian Dream, serta 10 pegawai kanan kementerian dalam negeri atas tuduhan melanggar hak asasi manusia.

Bintang seni bela diri Georgia, Ilia Topuria, turut menyatakan pandangannya melalui Instagram:

“Saya menentang keputusan untuk menamatkan rundingan penyertaan ke Kesatuan Eropah.

"Saya malu melihat bagaimana anak-anak Georgia diperlakukan. Ini bukan kebebasan", katanya.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD