WASHINGTON, 3 Disember- Amerika Syarikat (AS) pada Isnin melancarkan sekatan besar-besaran ketiga dalam tempoh tiga tahun terhadap industri semikonduktor China.
Negara 'Uncle Sam' itu menyasarkan kira-kira 140 syarikat, termasuk Naura Technology Group, pengeluar peralatan cip.
Langkah tersebut, yang diumumkan oleh Jabatan Perdagangan AS, bertujuan membatasi kemajuan teknologi cip China yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan AS
Berikut adalah tindakan utama yang diambil oleh Amerika Syarikat.
Peralatan Pembuatan Cip
Sekatan baharu akan dikenakan terhadap peralatan pembuatan cip untuk litar bersepadu canggih, termasuk peralatan litografi, implantasi ion, metrologi, pemeriksaan, dan pembersihan.
Langkah ini dijangka memberi kesan kepada syarikat seperti Lam Research, KLA Corp, dan Applied Materials, serta syarikat luar seperti ASM International dari Belanda.
Perisian
Sekatan juga dikenakan terhadap perisian untuk pembangunan atau pengeluaran cip canggih, termasuk alat yang meningkatkan produktiviti mesin atau membolehkan mesin kurang maju menghasilkan cip canggih.
Langkah ini berpotensi menjejaskan syarikat seperti Siemens, induk Mentor Graphics.
Memori Berkelajuan Tinggi (HBM)
Peraturan baharu itu turut mengehadkan eksport memori berkelajuan tinggi yang digunakan dalam cip AI, termasuk teknologi HBM 2 dan ke atas.
Teknologi ini dihasilkan oleh syarikat seperti Samsung, SK Hynix, dan Micron Technology.
Samsung dijangka paling terkesan, dengan anggaran 30% daripada jualan cip HBM syarikat itu datang daripada pasaran China. HBM merupakan komponen penting untuk latihan dan inferensi AI pada skala besar.
Selain itu, sebanyak 140 syarikat baharu telah ditambah masuk ke dalam Senarai Entiti Jabatan Perdagangan, termasuk kilang fabrikasi semikonduktor (fabs), syarikat alat semikonduktor, dan firma pelaburan yang dianggap menyokong objektif teknologi cip China yang berpotensi membahayakan keselamatan nasional AS dan sekutunya.
Antara syarikat yang dimasukkan ialah firma ekuiti persendirian China, Wise Road Capital, syarikat teknologi Wingtech Technology, dan JAC Capital.
Permohonan lesen untuk menghantar barangan kepada syarikat dalam senarai ini biasanya akan ditolak.
Peraturan Produk Asing Langsung
Peraturan baharu ini memperluaskan kuasa AS untuk mengawal eksport peralatan pembuatan cip oleh pengeluar dari AS, Jepun, dan Belanda yang dibuat di negara lain ke kilang tertentu di China.
Peralatan yang dihasilkan di Israel, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, dan Taiwan kini tertakluk kepada peraturan ini. Namun, Jepun dan Belanda diberikan pengecualian.
Langkah ini juga mengurangkan kandungan komponen AS yang diperlukan untuk mengawal eksport barangan dari luar negara ke China, sekali gus membolehkan AS mengawal eksport jika barangan tersebut mengandungi sebarang cip buatan AS.-REUTERS