NEW YORK, 3 Disember- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan berhubung peningkatan keganasan di Syria dan menyeru pertempuran dihentikan segera.
Organisasi itu melaporkan hampir 50,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat situasi tersebut.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan, semua pihak mesti melakukan yang terbaik untuk melindungi orang awam termasuk membenarkan laluan selamat kepada orang ramai yang melarikan diri.
"Rakyat Syria telah mengalami konflik ini selama hampir 14 tahun. Mereka berhak untuk melihat persekitaran politik yang membawa masa depan damai, bukannya pertumpahan darah yang berterusan", katanya.
Syria telah berada dalam kancah peperangan sejak Presiden Bashar al-Assad menindas protes prodemokrasi pada tahun 2011. Konflik berlarutan melibatkan kuasa asing mengakibatkan kira-kira setengah juta orang terbunuh.
Konflik tersebut semakin berkurangan selepas Assad menguasai semula sebahagian besar negara sehingga minggu lalu, apabila sebuah pakatan pemberontak mula melancarkan serangan.
Tentera Syria dan sekutunya, Rusia, telah bertindak balas dengan serangan udara yang membawa maut di kawasan yang dikuasai pemberontak.
Menurut Observatorium Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), pertempuran tersebut telah mengorbankan lebih daripada 457 orang termasuk sekurang-kurangnya 72 orang awam.
Sehingga 30 November, lebih daripada 48,500 orang telah kehilangan tempat tinggal di Idlib dan utara Aleppo, melibat ramai kanak-kanak, menurut Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), PBB.
"Puluhan ribu orang sedang berpindah, perkhidmatan kritikal terjejas, wanita, lelaki dan kanak-kanak bimbang tentang keselamatan mereka", kata Ketua OCHA, Tom Fletcher menerusi platform X dan menyifatkan situasi itu sangat membimbangkan.
Menurut jurucakap Guterres, Stephane Dujarric, operasi pengaman PBB di negara itu kebanyakannya ditangguhkan di Aleppo, Idlib dan Hama atas faktor keselamatan.
"Ini telah menyebabkan bantuan kemanusiaan terjejas teruk", katanya dalam satu kenyataan.
"Syria juga telah mengalaami krisis kemanusiaan terbesar di dunia. Seramai 16.7 juta orang memerlukan bantuan dan lebih tujuh juta orang kehilangan tempat tinggal", katanya.
Serangan Israel terhadap pejuang Hizbullah yang semakin meningkat di negara jiran, Lubnan juga telah memberi kesan kepada situasi ini.-AFP