fb fb fb fb fb

IMF lulus AS$360 juta bantu ekonomi Ghana

Foto AFP

WASHINGTON, 2 Disember- Lembaga Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan peruntukan segera yang dianggarkan bernilai AS$360 juta untuk membantu menyokong ekonomi Ghana.

Kelulusan pinjaman itu diumumkan oleh IMF beberapa hari menjelang Pilihan raya Presiden Ghana pada 7 Disember ini.

"Prestasi Ghana menerusi program ini secara umumnya memuaskan dan usaha pembaharuan memberikan hasil yang positif," kata IMF dalam kenyataan yang mengumumkan kelulusan lembaga itu.

IMF turut menyatakan bahawa kemajuan telah dicapai dalam penyusunan semula hutang, sementara pertumbuhan ekonomi sedang pulih dan kadar inflasi menurun.

Ghana merupakan pengeluar utama minyak, emas dan koko, mengalami krisis kewangan yang teruk pada tahun 2022, sehingga kerajaan gagal membayar hutang luar negaranya dan memaksa rundingan pakej bantuan AS$3 bilion selama tiga tahun dengan IMF.

Ekonomi menjadi isu utama menjelang pilihan raya presiden pada 7 Disember, yang menyaksikan persaingan antara calon parti pemerintah New Patriotic Party (NPP), Naib Presiden Mahamudu Bawumia dan bekas presiden serta calon parti National Democratic Congress (NDC), John Mahama.

Kelulusan pinjaman terkini oleh Lembaga IMF membuka jalan untuk pengagihan kira-kira AS$360 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disalurkan sejak perjanjian pinjaman itu diluluskan pada Mei 2023 kepada kira-kira AS$1.9 bilion.

"Melangkah ke hadapan, mengekalkan penyesuaian dasar fiskal termasuk sebelum dan selepas pilihan raya akan datang serta mencipta ruang untuk meningkatkan program sosial adalah penting bagi meletakkan kewangan awam pada landasan yang mampan dan mengurangkan keperluan pembiayaan," kata Timbalan Pengarah Urusan IMF, Bo Li, dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penting juga untuk melindungi golongan rentan daripada kesan penyesuaian fiskal.

IMF menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Ghana akan berkembang sebanyak 4.0 peratus tahun ini dan 4.4 peratus pada tahun 2025.

Kadar inflasi dijangka menurun daripada kadar tahunan 18.0 peratus pada akhir tahun ini kepada 8.0 peratus menjelang akhir tahun 2025.

ROSLINA BINTI DIN