BEIRUT, 3 Disember- Sembilan orang terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan kampung di selatan Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan bahawa serangan tersebut mengorbankan lima orang dan mencederakan dua lagi di Kampung Haris. Manakala di Kampung Tallous, seramai empat orang lagi terbunuh dan seorang cedera.
Agensi berita rasmi Lubnan melaporkan serangan udara di selatan Lubnan merupakan kawasan yang telah lama dikuasai Hizbullah, terletak kira-kira 20 kilometer (12 batu) dari sempadan Israel. Ia adalah serangan paling tragis sejak gencatan senjata berkuat kuasa minggu lalu.
Israel telah melancarkan serangan hampir setiap hari di selatan Lubnan sejak gencatan senjata dikuatkuasakan. Isnin lalu, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, mendakwa Israel melanggar perjanjian tersebut.
"Tindakan agresif yang dilakukan oleh tentera pendudukan Israel adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap syarat perjanjian gencatan senjata," kata Nabih.
Pertempuran semakin memuncak selepas Israel mengalihkan tumpuannya dari Gaza ke Lubnan pada September lalu, bagi menjaga keselamatan sempadan utaranya daripada serangan Hizbullah.
Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, memberitahu Menteri Luar Israel, Gideon Saar, dalam satu panggilan telefon mengenai "keperluan semua pihak untuk menghormati gencatan senjata di Lubnan," menurut kenyataan Kementerian Luar Perancis.
Bagaimanapun, Saar menafikan bahawa Israel melanggar gencatan senjata, sebaliknya mendakwa bahawa serangan negaranya adalah usaha untuk menguatkuasakan gencatan senjata itu.
Beliau juga menuduh Hizbullah cuba memindahkan senjata di selatan Lubnan dan menyatakan kehadiran mereka di selatan Sungai Litani adalah pelanggaran terhadap perjanjian itu.
Menerusi perjanjian itu, Hizbullah mesti menarik balik pejuangnya dari kawasan selatan sungai itu dan merobohkan infrastruktur ketenteraannya di kawasan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, tentera Lubnan dan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) akan dikerahkan ke selatan Lubnan, apabila tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.
Sebuah jawatankuasa yang melibatkan Perancis, Pasukan Pengaman PBB, Israel, Lubnan dan dipengerusikan oleh Amerika Syarikat yang juga berperanan untuk memastikan komunikasi antara pihak yang terlibat serta mengenal pasti dan mengelakkan pelanggaran perjanjian bagi mengelakkan konflik lebih meruncing.
"Kami meminta jawatankuasa teknikal yang dibentuk untuk memantau pelaksanaan perjanjian ini memberikan pendirian mereka terhadap pelanggaran yang sedang berlaku... yang kini telah melebihi 54 kes," tambah Berri, sambil menggesa ia untuk memaksa Israel menghentikan pelanggarannya dan berundur dari wilayah yang didudukinya.
Amerika Syarikat menyatakan bahawa ia percaya gencatan senjata masih berkuat kuasa di Lubnan dan sedang menilai sebarang pelanggaran terhadap perjanjian tersebut.
Israel telah meningkatkan serangan terhadap pejuang Hizbullah sejak September lalu, selepas hampir setahun berbalas serangan rentas sempadan dengan sekutu Hamas itu.-AFP