fb fb fb fb fb

Saintis New Zealand bedah paus 'Spade-toothed', jarang dijumpai

Foto AFP

WELLINGTON, 2 Disember- Para saintis di New Zealand memulakan pembedahan bangkai paus yang dianggap paling jarang dan sukar ditemui, sehingga hanya tujuh spesimen pernah didokumentasikan.

Paus 'Spade-toothed' yang mati itu terdampar di pulau selatan New Zealand awal tahun ini, memberikan peluang kepada penyelidik untuk mengkaji mamalia laut dalam yang belum pernah dilihat hidup-hidup.

Haiwan tersebut yang berukuran panjang lima meter (16.4 kaki), telah diangkat dari pantai pada Julai lalu dan disimpan dalam penyejuk beku khas.

Pakar paus, Anton Van Helden, berkata ini adalah kali pertama saintis dapat membedah spesimen Spade-toothed yang lengkap, yang tergolong dalam keluarga paus berparuh.

"Ini adalah peluang yang luar biasa dan signifikan di peringkat global," katanya.

Pembedahan yang berlangsung selama seminggu ini bertujuan untuk mengisi kekurangan maklumat mengenai tingkah laku paus, dietnya dan anatominya.

"Paus berparuh adalah kumpulan mamalia besar yang paling 'misteri'," kata Van Helden.

"Ia adalah 'penyelam laut dalam' yang jarang dilihat di laut, yang menjadikan penyelidikan terhadap haiwan marin ini sangat mencabar.

"Paus ini adalah yang paling jarang ditemui, hanya spesimen ketujuh yang diketahui di seluruh dunia dan peluang pertama kami untuk menjalankan pembedahan seperti ini", katanya.

Sementara itu, menurut Jabatan Pemuliharaan New Zealand menyatakan bahawa paus Spade-toothed adalah paus paling jarang dijumpai.

Spesies ini pertama kali disebut pada 1874, hanya berdasarkan tulang rahang bawah dan dua gigi yang dikumpul dari Kepulauan Chatham di luar pantai, timur New Zealand.

Sampel tersebut, bersama dengan sisa rangka dari dua spesimen lain yang ditemui di New Zealand dan Chile, membolehkan saintis mengesahkan kewujudan spesies baru itu.

Disebabkan begitu sedikit spesimen yang ditemui dan tiada penemuan paus ini dalam keadaan hidup, paus Spade-toothed diklasifikasikan sebagai "data tidak mencukupi" menerusi Sistem Pengelasan Ancaman New Zealand.-AFP

ROSLINA BINTI DIN