fb fb fb fb fb

Proses pemberhentian pekerja Twitter bermula

(Twitter berkata pihaknya akan mula memberhentikan pekerjanya/AFP)

SAN FRANCISCO, 4 November- Twitter mula memberhentikan pekerjanya hari ini, menurut memo yang dihantar kepada kakitangan, dengan beberapa pekerja memfailkan saman mendakwa tindakan pemilik baharu, Elon Musk melanggar undang-undang buruh Amerika Syarikat.

E-mel seluruh syarikat yang dilihat oleh AFP mengatakan pekerja Twitter akan menerima berita melalui e-mel pada permulaan waktu berkeja hari ini, waktu California, tentang apa nasib mereka.

Ia tidak memberikan jumlah yang akan diberhentikan tetapi Washington Post dan New York Times melaporkan bahawa kira-kira separuh daripada 7,500 pekerja Twitter akan dilepaskan.

"Dalam usaha meletakkan Twitter pada laluan yang sihat, kami akan melalui proses sukar untuk mengurangkan tenaga kerja global kami," kata e-mel itu.

Kakitangan Twitter telah bersiap sedia untuk berita buruk seperti ini sejak Musk menyelesaikan pengambilalihan besarnya bernilai $44 bilion lewat minggu lalu dan dengan cepat bersiap sedia untuk membubarkan lembaga pengarah dan memecat ketua eksekutif dan pengurus tertingginya.

Lewat Khamis, sekumpulan lima pekerja Twitter yang telah dipecat memfailkan aduan bahawa mereka tidak diberi tempoh notis 60 hari yang diperlukan seperti yang dikehendaki bawah undang-undang persekutuan AS dan negeri California.

(Skrin telefon memaparkan foto Elon Musk dengan logo Twitter ditunjukkan di latar
belakang, di Washington/AFP)

Tuntutan itu merujuk kepada Akta Pemberitahuan Pelarasan dan Latihan Semula (WARN) Pekerja AS, yang memberi pekerja hak menerima notis awal dalam kes pemberhentian besar-besaran atau penutupan syarikat.

Tuntutan itu juga meminta mahkamah menyekat Twitter daripada meminta pekerja menandatangani dokumen yang akan mengetepikan hak mereka bawah Akta WARN.

E-mel yang dihantar Khamis memberitahu pekerja untuk pulang ke rumah dan tidak melaporkan diri untuk bekerja pada hari Jumaat.

"Pejabat kami akan ditutup buat sementara waktu dan semua akses lencana akan digantung," kata e-mel itu. Mereka yang dalam perjalanan ke pejabat hendaklah berpatah balik dan pulang ke rumah."

E-mel itu mengakui bahawa Twitter sedang melalui "pengalaman yang sangat mencabar."

"Kami menyedari bahawa ini akan memberi kesan kepada beberapa individu yang telah membuat sumbangan berharga kepada Twitter, tetapi tindakan ini malangnya perlu untuk memastikan kejayaan syarikat bergerak ke hadapan," tambahnya. -AFP

Media Baharu