fb fb fb fb fb

Harga makanan dunia kekal stabil pada bulan Oktober: PBB

(Foto fail)

PARIS, 4 November- Harga makanan dunia kekal stabil pada bulan Oktober, walaupun harga bijirin meningkat berikutan ketidakpastian perjanjian yang memberi laluan selamat untuk bijirin Ukraine di Laut Hitam, kata agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Harga makanan global telah jatuh sejak mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada Mac berikutan pencerobohan Rusia di Ukraine, salah satu pengeksport utama gandum dan minyak masak dunia.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) berkata indeks harganya yang menjejaki perubahan bulanan dalam harga antarabangsa sekumpulan komoditi makanan, berpurata 135.9 mata pada Oktober, lebih rendah sedikit daripada September.

Tetapi indeks harga bijirinnya purata 152.3 mata pada Oktober, 4.4 mata lebih tinggi daripada bulan sebelumnya.

Harga gandum naik 3.2 peratus, "kebanyakannya mencerminkan ketidaktentuan berterusan berkaitan Inisiatif Bijian Laut Hitam," katanya.

Ukraine salah satu pengeluar utama dunia dan pencerobohan Rusia telah menyekat 20 juta tan bijirin di pelabuhannya sehingga perjanjian laluan selamat dipersetujui pada Julai.

Namun Rusia masih belum memutuskan sama ada melanjutkan perjanjian bijirin melebihi 19 November tarikh pembaharuan yang ditulis dalam perjanjian asal yang diuruskan oleh PBB dan Turkiye untuk mengelak kecemasan makanan global. -AFP

(Gandum semasa matahari terbenam di ladang syarikat pertanian Solgonskoye di kampung
Solgon,
Rusia/File REUTERS)

Media Baharu